NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gugur penyandang di hati rakyat, PKR berdepan risiko – Penganalisis


KUALA LUMPUR –
Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggugurkan beberapa  penyandang kerusi Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan parti itu seperti tiada hala tuju untuk meraih kemenangan.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfiq Yaakub berpendapat, parti itu bakal kehilangan pengundi tegar kerana tidak menghargai calon yang telah mendapat tempat di hati rakyat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekesalan bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang menyifatkan senarai 72 calon diumumkan semalam tidak inklusif sehingga membuat ramai pihak kecewa.

“Beberapa nama dijangka bertanding semula tapi tidak muncul, misalnya tidak mencalonkan Tian Chua di Parlimen Batu dan abaikan R Sivarasa yang merupakan penyandang Parlimen Sungai Buloh.

“Mereka ini adalah antara nama yang cukup sinonim dengan perjuangan PKR tetapi tidak tercalon, ini tidak wajar,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Jelas Tawfiq, PKR perlu bersedia berhadapan dengan sebarang risiko termasuk kemungkinan terdapat ahli parti itu yang tidak keluar mengundi pada 19 November ini kerana sistem pemilihan calon dianggap tidak tepat.

Tawfiq berpandangan, tidak menjadi masalah jika PKR mahu menampilkan calon muka baharu pada PRU15.

Ia menjadi masalah jika wakil rakyat terdahulu masih mempunyai kredibiliti dan gerak kerja yang cekap.

“Kita lihat Saipolyazan Mat Yusop dicalonkan di Sungai Besar. Apakah penglibatan beliau dengan PKR, adakah dia ada rekod dalam perjuangan PKR?

“Bagi saya, walaupun muka lama tapi jika boleh bekerja dengan rakyat, ia tidak jadi masalah,” ujarnya.

Bagaimanapun, Tawfiq yakin beberapa nama yang tidak disenaraikan itu masih mempunyai peluang untuk bertanding memandangkan pengumuman yang dibuat semalam belum rasmi sehinggalah hari penamaan calon pada 5 November ini.

“Surat berkenaan calon semalam itu bukan watikah, ia hanya sekadar perjanjian. Selagi belum sampai tarikh penamaan calon, pertukaran calon masih boleh berlaku. PKR masih boleh calonkan Tian Chua dan lain-lain yang layak untuk menuju kemenangan,” ulasnya.

Pensyarah dari Fakulti Ekonomi Pentadbiran itu percaya PKR bertindak mengumumkan  senarai calon yang diumumkan lebih awal berbanding parti lain itu bertujuan mengambil tahu penerimaan pengundi di kawasan tersebut.

Antara bekas Ahli Parlimen PKR yang tidak akan mempertahankan kerusi mereka adalah Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Tan Yee Kew (Wangsa Maju), June Leow (Hulu Selangor), Johari Abdul (Sungai Petani), Dr Lee Boon Chye (Gopeng) dan Chan Ming Kai (Alor Setar). – MalaysiaGazette



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo