NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PAS guna lambang PN di Kedah, kata Sanusi


PETALING JAYA:
Calon PAS di Kedah tidak akan menggunakan lambang parti itu, sebaliknya mereka bakal bertanding di bawah lambang Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi PN negeri, Sanusi Md Nor.

“Jangan ada sesiapa beri ruang untuk musuh pecah belahkan kita atas perbezaan logo tadi.

“Sekarang di Kedah, logo kita sama, iaitu Perikatan Nasional,” katanya menurut laporan Astro Awani dalam satu majlis di Alor Setar malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan PAS akan bertanding 15 kerusi Parlimen di Kedah, manakala Bersatu bertanding di tujuh kerusi.

Pengumuman Sanusi itu berbeza dengan pengumuman Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada awal bulan ini bahawa calon parti itu akan menggunakan lambang “bulan” di Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana pengundi di negeri itu sudah biasa dengan lambang terbabit.

Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata, rundingan pembahagian kerusi parti komponen PN di Kedah, terutama PAS dan Bersatu, diselesaikan dengan hanya tiga perbincangan.

Katanya, PN akan menggunakan beberapa strategi untuk menawan kerusi “sukar dimenangi” seperti Langkawi dan Alor Setar yang disandang Dr Mahathir Mohamad dari Pejuang dan Chan Ming Kai dari PKR.

Beliau berkata, PN akan memfokuskan kerusi yang dimenangi lawan dengan majoriti kurang 2,000 undi pada PRU14 seperti Padang Terap dan Baling.

Pada 22 Okt lalu, Pengerusi Gerakan Kedah, M Marimuthu Selvan berkata, partinya tidak akan bertanding kerusi Parlimen kerana PN memutuskan untuk menggunakan logo PAS di negeri itu.

Katanya, keputusan itu dibuat pimpinan pusat parti, tetapi menegaskan ia tidak akan menjejaskan kerjasama dengan PAS.

“Kami mahu menggunakan logo PN, tetapi kerana PAS bertegas mahu menggunakan logo mereka, maka kami menarik diri di Kedah.”

Gerakan sebelum ini berhasrat bertanding di Parlimen Alor Setar dan Sungai Petani, yang kedua-duanya mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu yang tinggi.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo