NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GTA umum pendirian selepas PM persembah cadangan tarikh bubar Parlimen

CYBERJAYA: Gerakan Tanah Air (GTA) akan menyatakan pendiriannya terhadap cadangan tarikh pembubaran Parlimen selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong kelak.

Pengerusi penajanya, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ketika ini pihaknya masih bertegas PRU-15 tidak sepatutnya diadakan pada musim banjir.

"Kalau mereka buat permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong pada masa itu, kita akan buat keputusan sama ada nak bantah atau menyokong.

"Kita berpendapat bahawa sepatutnya mengadakan pilihan raya di waktu kita tidak menghadapi banjir besar dan ketika tidak menghadapi angin kencang supaya semua orang yang mengundi selamat dan boleh mengundi dengan baik," katanya pada sidang media selepas Program Suara Tanah Air, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, waktu yang sesuai untuk pilihan raya diadakan adalah selepas musim tengkujuh apabila semuanya selamat.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam ucapannya berkata, tindakan UMNO mahu mengadakan PRU-15 pada akhir bulan ini atau November kerana ia adalah tarikh yang menguntungkan parti itu.

Katanya, pilihan raya yang dijalankan pada musim banjir hanya akan menguntungkan UMNO kerana ramai yang menyokong parti lain termasuk GTA tidak dapat keluar mengundi.

"Sebab itu mereka merancang untuk mengadakan pilihan raya walaupun hujung bulan ini atau hujung November supaya walaupun kita hadapi banjir dan tak dapat keluar mengundi, mereka akan dapat sokongan daripada orang yang disogok oleh mereka.

"Mereka tak peduli kalau banjir ini akan menyebabkan ramai berdepan kesukaran," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai rancangan GTA memasuki PRU-15 jika tidak sempat mendapat kelulusan sebagai sebuah parti, Dr Mahathir berkata, pihaknya sudah ada Pelan B, namun enggan mendedahkan apakah yang akan dilakukan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya berharap supaya ia dapat diluluskan segera.

"Kita diberitahu ada 30 parti yang meminta didaftar, oleh itu pendaftaran tidak dipercepatkan.

"Mungkin bulan ini mereka daftar, mereka beri pengakuan tiada masalah untuk mendaftar GTA kerana semua peraturan dan undang-undang dipatuhi," katanya.

Sebelum ini, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dilaporkan berkata GTA sudah mendapat kelulusan sementara daripada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).

BH semalam melaporkan, mesyuarat MKT UMNO membuat ketetapan supaya PRU-15 diadakan pada tahun ini.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik COVID-19, selepas runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo