NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

GTA terbuka tawar calon NGO untuk bertanding - Mukhriz


JOHOR BAHRU:
Gerakan Tanah Air (GTA) bersifat terbuka dalam menawarkan calon daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini berikutan keterlibatan NGO dalam gabungan itu dilihat mampu meraih sokongan rakyat.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, kewujudan NGO dalam GTA menjadikan gabungan itu lebih unik berbanding gabungan lain, seperti Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan.

"Kelebihan NGO sememangnya sebagai aktivis rakyat yang memperjuangkan isu rakyat seperti soal kepenggunaan, alam sekitar, pendidikan dan sebagainya.

"Apabila mereka terlibat aktif dalam GTA, rakyat boleh bayangkan sekiranya kami menang pilihan raya maka orang seperti inilah yang kita tampilkan dalam jawatan, yang mempunyai kuasa untuk ubah nasib rakyat," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat GTA Johor, pada Sabtu.

Katanya, selain empat parti komponen di bawah gabungan itu, GTA turut mendapat sokongan daripada beberapa NGO termasuk Perkasa dan Gagasan Bangsa.

Beliau dalam masa yang sama turut memaklumkan gabungan itu akan memuktamadkan jumlah kerusi yang bakal dipertandingkan dalam tempoh dua minggu lagi.

"Untuk seluruh Malaysia belum lagi, tetapi sebelum ini kita ada nyatakan minat untuk bertanding di 120 kerusi seluruh Malaysia khususnya di Semenanjung.

"Biasanya kerusi Melayu. Johor ada 26 kerusi dan majoriti Melayu 17 kerusi. Saya belum boleh nyatakan berapa banyak yang kita akan tandingi di Johor tapi dalam masa terdekat kita akan buat pengumuman kerana kita boleh jangka tarikh pilihan raya dalam tempoh tak sampai sebulan dari sekarang," katanya lagi.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo