NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dosa-dosa Dr Mahathir Terhadap PAS

1. Baru-baru ini Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mendakwa PAS sekarang adalah parti kafir. Logik Dr Mahathir mudah sahaja, PAS dahulu telah mengkafirkan UMNO dan mengkafirkan parti-parti yang berkerjasama dengan parti kafir, maka sekarang PAS pun parti kafir kerana melakukan perkara yang sama. Sememangnya dari dahulu lagi Dr Mahathir mendakwa PAS mengkafirkan UMNO, sedangkan PAS dan pimpinan-pimpinannya hanya menerangkan batas-batas Iman dan Kufur.

2. Sepanjang saya mula peka dengan perkembangan politik dan kemudiannya terlibat dengan politik di usia muda, pemimpin UMNO dan Perdana Menteri yang paling kuat memusuhi PAS adalah Dr Mahathir. Beliau tidak pernah berlembut dengan PAS melainkan apabila beliau tersepit tersingkir dari UMNO atau dipencilkan oleh parti lamanya. Ketika beliau berkuasa dan berpengaruh beliau sentiasa memusuhi PAS dan mendiskriminasikan negeri-negeri yang diperintah oleh PAS.
3. Permusuhan Dr Mahathir terhadap PAS memuncak sehingga di zaman beliau menjadi Perdana Menteri, beberapa peristiwa ahli-ahli PAS dizalimi malah dibunuh telah berlaku. Peristiwa Pembunuhan Ustaz Ibrahim Libya dan murid-muridnya berlaku di kala Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, yang sehingga hari ini masih misteri tentang siapakah sebenarnya pencatur di sebalik pertempuran Pasukan Polis dan orang-orang kampung? Sehingga hari ini Dr Mahathir tidak penah menyesal dengan kejadian ini.
4. Di zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO lah, beliau telah mengugut Kerajaan Negeri Kelantan agar tidak meneruskan usaha untuk mendaulatkan Hukum Syariah. Bukan sekadar itu, Dr Mahathir mempersendakan hasrat PAS yang memerintah Kelantan dan Terengganu apabila kedua-dua negeri tersebut berusaha melaksanakan perintah-perintah Allah dalam kerajaan negeri. Keceluparan Dr Mahathir terhadap usaha-usaha melaksanakan Islam sentiasa diingati oleh ahli-ahli PAS.
5. Dr Mahathir bukan sahaja menyekat usaha PAS untuk melaksanakan Syariah, malah negeri-negeri yang diperintah oleh PAS turut dizalimi. Semasa PAS berjaya mengambil alih Kerajaan Negeri Terengganu selepas PRU 1999, Dr Mahathir lah yang telah menyekat pembayaran Royalti Petroleum kepada negeri itu. Apabila usahasama antara Malaysia dan Thailand dibuat untuk mengeluarkan petroleum di perairan Kelantan, hasilnya tidak didaratkan di Kelantan, menyebabkan tiada limpahan Industri O&G di negeri tersebut.
6. Di zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, geran peruntukan wajib kepada negeri Kelantan dilewat-lewatkan sehingga menyukarkan tadbir urus kerajaan negeri. Projek-projek pembangunan prasarana di negeri Kelantan ditiadakan atau dilambat-lambatkan. Pinjaman untuk meningkatkan Perkhidmatan Bekalan Air di negeri Kelantan telah ditangguhkan meskipun telah mendapat kelulusan. Hanya di zaman Abdullah Ahmad Badawi barulah pinjaman ini dilunaskan.
7. Tidak cukup dengan diskriminasi tersebut, diwujudkan pula 'kerajaan dalam kerajaan' dengan menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan yang mengambil peranan Kerajaan Negeri. Peruntukan pembangunan di negeri-negeri yang diperintah oleh PAS disalurkan kepada jabatan ini bukan kepada Kerajaan Negeri. Pendek kata, di zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO, tekanan terhadap PAS dan Kerajaan Negeri yang diterajui oleh PAS begitu memuncak. 

8. Sebenarnya terlalu panjang senarai tindakan-tindakan Dr Mahathir yang menzalimi PAS semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Dengan pengertian lain, sangat sukar dijernihkan sejarah kezaliman beliau, apatah lagi untuk ahli-ahli PAS diajak berkerjasama dengan PEJUANG seperti yang cuba diusahakan oleh BERSATU pada masa kini. Sejarah hubungan Dr Mahathir dan PAS semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO begitu keruh berkeladak.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo