NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rakyat muak janji PM untuk bina jambatan Palekbang



TUMPAT - Lebih dua dekad menunggu pembinaan Jambatan Palekbang membuatkan penduduk di sini bukan sahaja 'muak' malah ragu dengan janji-janji manis yang dilemparkan sejak tahun 1996.

Malah ada dalam kalangan penduduk beranggapan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 September lalu semasa merasmikan Laman Warisan Kampung Laut, di sini masih belum mampu meyakinkan sehinggalah projek itu siap dan boleh digunakan oleh orang ramai.

Bagi Mohd Rosdi Che Zakaria, 56, yang merupakan antara orang lama di Kampung Palekbang berkata, sebagai penduduk dia sudah 'penat' untuk meletakkan harapan projek itu akan menjadi kenyataan.

"Hal ini selepas kerajaan negeri meletakkan batu asas (pada tahun 1996) sampai sekarang hanya khabar berita sahaja yang didengar.

"Biar projek pembinaan bermula dan siap baru kami boleh rasa gembira," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengimbau semula kenangan itu, dia yang merupakan pemilik kedai kopi di Palekbang berkata, semasa kerja-kerja meletakan batu asas usianya ketika itu sudah mencecah 30 tahun.

Katanya, walaupun kini dia menghampiri usia emas, pembinaan jambatan itu masih belum menjadi realiti.

"Entah sempat atau tidak hendak menikmati kemudahan Jambatan Palekbang yang dijangka siap pada tahun 2025 nanti.

Sinar Harian pada 9 September lalu melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan projek pembinaan Jambatan Palekbang sepanjang empat kilometer menghubungkan Kota Bharu dengan Tumpat, akan bermula hujung tahun ini selepas penantian selama 26 tahun.

Jambatan Palekbang merupakan projek di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan kos RM250 juta.

Rancangan untuk membina Jambatan Palekbang-Kota Bharu bermula sejak 1996, bertujuan untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas setiap kali musim perayaan terutamanya di kawasan Tumpat dan Kota Bharu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo