NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Datuk palsu' kembali menjadi topik hangat

Kuala Lumpur: Datuk atau Dato adalah gelaran kehormat digunakan oleh seseorang individu di negara ini selain rantau Asia termasuk Indonesia dan Brunei.

Di Malaysia sendiri ia boleh dianugerahkan melalui warisan mahupun secara rasmi oleh ketua negara atau negeri seperti Yang di-Pertuan Agong, Sultan, dan Yang di-Pertua Negeri kepada orang dikurniakan pingat atau bintang kebesaran tertentu sebagai penghargaan terhadap jasa atau khidmatnya kepada negara.

Namun begitu gelaran berkenaan kadang kala menimbulkan persoalan selepas ada dikalangan mereka menggunakan pangkat terbabit untuk tujuan yang tidak sepatutnya.

Malah terbaharu yang menjadi tumpuan ramai adalah mengenai status gelaran Datuk milik selebriti terkenal tanah air yang didakwa membawa gelaran 'Datuk palsu' antaranya penyanyi Datin Seri Heliza Helmi, Datin Fouziah Gous dan Datin Paduka Eina Azman.

Isu itu timbul susulan perkongsian individu di Facebook yang menggunakan akaun Aliff Ahmad mengenai gelaran Datuk Seri yang dimiliki suami kepada penyanyi Heliza Helmi iaitu Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman yang tidak tersenarai dalam sistem istiadat.

Individu terbabit juga mendakwa tindakan itu dibuat selepas dia didesak oleh banyak pihak bagi mendedahkan perkara sebenar.

Menerusi tinjauan ke akaun Instagram pasangan itu juga tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung isu berkenaan.

Usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan Heliza juga tidak berjaya apabila kiriman WhatsApps tidak berbalas.

Sementara itu, dua lagi pelakon wanita iaitu Fouziah Gous dan Eina Azman turut mengambil pendekatan berdiam diri untuk menjawab kepada dakwaan 'Datuk palsu' yang dikaitkan dengan status gelaran dimiliki suami masing-masing.

Usaha mendapatkan kenyataan daripada mereka juga gagal apabila mesej dan panggilan telefon dibuat tidak dibalas serta dijawab.

Menerusi tinjauan Harian Metro di media sosial, Fouziah melalui perkongsian di Instagram Story kini berada di Johor bersama suami dan anak-anak kerana mengikuti festival perniagaan untuk minuman kesihatan sarang burung walet yang diusahakannya.

Manakala, Eina pula melalui Instagram Story berkongsi beberapa juadah makanan masakannya untuk hidangan sekeluarga pada hujung minggu ini. Termasuk, menikmati keenakan durian Musang King.

Terdahulu, isu gelaran didakwa palsu itu dikaitkan netizen kepada suami penyanyi, Heliza Helmi tular dan mendapat liputan beberapa media sosial serta portal tempatan.

Tak berjaya kesan nama suami selebriti

Semakan penerima darjah kebesaran boleh dilakukan di laman sesawang istiadat. Bagaimanapun tinjauan Harian Metro mendapati laman sesawang yang menyenaraikan penerima gelaran itu tidak berjaya mengesan nama suami selebriti tanah air terbabit.

Usaha dilakukan untuk mengesan gelaran yang diterima artis tersohor tanah air, Dato Sri Siti Nurhaliza Tarudin bagaimanapun berjaya menampilkan butir gelaran yang diterima.

Begitu juga semakan terhadap beberapa nama selebriti terkemuka berkaitan.

Bagaimanapun, selepas beberapa kali membuat pencarian laman terbabit mengeluarkan notis pemakluman. Ia menyatakan bagi semakan penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan. Bagi pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri (DKBPN) dan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan (DKBPWP) pula, hanya penerima yang membawa gelaran sahaja akan dimuat naik ke dalam kemudahan semakan itu.

Maklumat tersebut adalah sebagaimana terdapat dalam warta dan senarai penerima yang dibekalkan kepada Jabatan terbabit oleh setiap Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Sehubungan itu, untuk maklumat lanjut berhubung senarai penerima terbabit, orang awam dinasihatkan untuk merujuk kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Kementerian Wilayah Persekutuan berdasarkan Darjah Kebesaran yang berkaitan.

Sumber | Metro

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo