NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Damok layak 'lebar sayap' ke Moto3 - Kasma Daniel

Potensi Damok dibuktikan dengan pencapaian beliau yang memberangsangkan dalam saingan Kejuaraan Dunia Junior GP musim ini. - Bernama

SEPANG: Dengan rekod perlumbaan yang baik di peringkat junior, pelumba muda negara Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok sememangnya layak mendapat tempat ke Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) musim depan.
Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara Kasma Daniel Kasmayudin berkata potensi Damok dibuktikan dengan pencapaian beliau yang memberangsangkan dalam saingan Kejuaraan Dunia Junior GP musim ini.
"Apa yang kita tengok semasa di Junior GP dia (Damok) selalu berada dalam kedudukan lima teratas dan (menaiki) podium juga, jadi memang layak dia ke kejuaraan dunia. Dia ke kejuaraan dunia pun tidak terus lompat, dia ikut segala langkah satu persatu," katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Semalam, Damok diumumkan sebagai salah seorang pelumba pasukan MT Helmets-MSI bagi saingan Moto3 musim depan dan bakal bergandingan bersama pelumba dari Brazil Diogo Moreira.
Dalam saingan Kejuaraan Dunia Junior GP musim ini, Damok kini berada di tempat keempat dalam senarai kedudukan pelumba mengumpul keseluruhan 110 mata dengan berbaki dua lagi pusingan perlumbaan di Valencia, Sepanyol pada 30 Okt ini.
Damok turut berpeluang menimba pengalaman dan merasai bahang saingan Moto3 pada GP Malaysia 2022 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, esok apabila beraksi menerusi tiket wildcard bersama Vision Track Racing Team.
Sementara itu, Kasma Daniel yang turut menerima tiket wildcard bersaing dalam kelas Moto2 bersama Petronas MIE Racing RW pada GP Malaysia kali ini berkata tekanan berlumba dalam kejuaraan dunia amat tinggi
"Ia (tekanan) tak sama macam perlumbaan biasa kerana nak berada di sana bukan mudah, nak kekal pun bukan mudah. Saya harapkan Damok lebih tabah dan kuat dari segi mental dan fizikal.
"Damok salah seorang pelumba terbaik Malaysia, tahniah kepada dia dan paling penting sekali perlumbaan Moto3 agak 'keras' dan persaingannya pun gila-gila, tunggang dengan selamat dan cuba sehabis baik demi Malaysia," kata pelumba berusia 22 tahun itu yang bersaing dalam Moto3 pada 2017 dan Moto2 pada 2020.
-- BERNAMA


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo