NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Changkat Jong untuk DAP, bukan Amanah, Tapah untuk PKR, bukan MUDA - Anwar

Anwar berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara pimpinan tertinggi PH, semalam. - Gambar fail

IPOH: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong akan ditandingi calon DAP bukan Parti Amanah Negara (Amanah) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerusi Parlimen Tapah pula akan ditandingi calon PKR bukan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Anwar berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan antara pimpinan tertinggi PH, semalam.
Menurutnya, antara yang hadir dalam rundingan itu ialah beliau sendiri, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Setiausaha Organisasi Kebangsaan Steven Sim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung Amanah, Datuk Hatta Ramli.
Mengenai kerusi Changkat Jong, Anwar berkata Amanah dan DAP mengemukakan hujah untuk meletakkan calon sendiri namun keputusan bersama diputuskan memihak kepada DAP.
"Dalam 10 hari lepas, kedua-dua parti (DAP dan Amanah) telah memohon dan Majlis Presiden PH yang berbincang setuju agar Changkat Jong kekal dengan DAP.
"Amanah ada berikan hujah yang agak kuat untuk pertahankan Changkat Jong, DAP juga begitu dan setelah ambil kira semua (aspek), keputusan secara konsensusnya diberi kepada DAP," katanya.
Beliau ditemui pada program minum petang bersama Anwar Ibrahim di Warung Nasi Lemak Kak Nor di Kampung Ulu Chemor di sini, hari ini.
Kerusi DUN Changkat Jong menjadi pertikaian selepas Naib Pengerusi Amanah negeri, Dr Muhaimin Sulam, mengumumkan calon parti itu bagi bertanding di kawasan berkenaan.
DAP kemudian mengumumkan Setiausaha Publisiti DAP Teluk Intan, Badrul Hisham Badarudin iaitu muka baharu sebagai calon di kerusi tersebut.
Sementara itu, bagi kerusi Parlimen Tapah, Anwar berkata rundingan terakhir semalam telah memutuskan mengekalkan Tapah bagi PKR bersama beberapa kerusi lain seperti Sungai Siput dan Sembrong.
Menurutnya, Naib Presiden PKR, K Saraswathy akan bertanding di Tapah, S Kesavan di Sungai Siput dan Sembrong ditandingi Hasni Abas.
"Tadi ada pengumuman di pihak MUDA, tetapi perkara itu tidak betul.
“Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) (Presiden MUDA) telah maklumkan kepada saya bahawa pengumuman itu tidak mewakili MUDA.
"Tapah memang kerusi Keadilan (PKR) dan untuk kerusi MUDA, diputuskan selain Muar, Tanjong Karang dan Tanjung Piai... lain-lain akan diumumkan kemudian," katanya.
Terdahulu, laporan media menyebut, Pengerusi MUDA Perak, Mutalib Uthman mengumumkan bertanding di kerusi Parlimen Tapah pada PRU15.
Mutalib dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dibuat mengikut agihan kerusi hasil rundingan kerjasama politik di antara MUDA dan PH.
Perkara itu bagaimanapun telah dinafikan Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long yang menyatakan kerusi Parlimen Tapah kekal milik PH.
Parlimen Tapah merupakan kubu kuat BN yang kini disandang Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan daripada MIC sejak PRU 2008.

Sumber I Astro Awani 



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo