NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Belum terlewat tingkat kesedaran generasi muda keluar mengundi


Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) boleh dianggap pilihan raya unik dalam sejarah negara apabila enam negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen.

Negeri terbabit ialah Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala Johor, Melaka dan Sarawak pula baru selesai mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Uniknya PRU15 ini kerana yang pertama membabitkan pemilih berdaftar secara automatik selepas mencapai usia 18 tahun berikutan pindaan Perkara 47 dan 119 Perlembagaan.

Namun, daftar pemilih automatik ini terpakai secara rasmi ketika PRN Johor pada 12 Mac lalu. Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi bagi PRU15 membabitkan sekitar 20 juta pengundi dengan pertambahan hampir tujuh juta pengundi baharu.

Terdapat kira-kira lima juta pengundi berdaftar secara automatik membabitkan mereka berumur 18 tahun. Angka lima juta ini sangat besar serta mampu memberi implikasi terhadap keputusan PRU15.

Tunai tanggungjawab pada 19 November ini 

Tentu parti bertanding akan cuba sedaya upaya berkempen untuk meraih sokongan padu pengundi pada pilihan raya akan datang. Namun, persoalannya, adakah pengundi baharu ini sedia menunaikan tanggungjawab mereka pada 19 November ini untuk mengundi?

Berdasarkan pengalaman PRN Johor, daripada jumlah keseluruhan keluar mengundi, kurang 5.0 peratus pengundi baharu menunaikan tanggungjawab ketika itu.

Peratusan ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan pertambahan pemilih secara automatik bagi PRN Johor ketika itu. Mungkin terdapat pelbagai faktor mempengaruhi jumlah peratusan ini, sama ada tahap kesedaran mereka masih rendah ataupun pengundi baharu kurang berminat terbabit dengan politik.

Sekiranya situasi ini terus berlaku pada PRU15, ia menjadi satu kerugian besar kepada negara yang dalam usaha melangkah ke hadapan untuk menjadikan demokrasi semakin segar dan bernafas baharu.

Justeru, apa perlu dilakukan untuk memastikan mereka ini keluar mengundi pada PRU15 nanti? Paling penting, pengundi baharu ini perlu disedarkan kepentingan mengundi demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Walaupun SPR menjalankan pelbagai program pendidikan dan kesedaran kepada pengundi, ia mungkin mustahil untuk menarik jumlah besar dalam tempoh agak singkat memandangkan pertambahan pengundi baharu yang banyak secara drastik.

Dalam tempoh jangka pendek menjelang PRU15, tindakan segera dan bersepadu perlu dilakukan untuk memastikan pengundi baharu keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Pihak media sudah pasti mempunyai tanggungjawab besar untuk menyebarkan kempen melalui saluran media baharu selain menggunakan media cetak dan elektronik.

Guna poster, media sosial 

Bagi agensi tertentu seperti universiti, kolej atau pusat kemahiran, pihak pengurusan perlu meningkatkan kesedaran menggalakkan generasi muda ini keluar mengundi, sama ada menggunakan poster atau media sosial utama khasnya WhatsApp, Twitter, Facebook dan Instagram.

Pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta juga tidak boleh melepaskan tanggungjawab menyedarkan pengundi muda ini. Tanggungjawab sosial perlu dilakukan, sama ada memeriahkan bangunan atau permis masing-masing dengan poster mendorong pengundi keluar mengundi.

Sebagai langkah jangka panjang pula, pendidikan untuk menyedarkan generasi muda keluar mengundi perlu dilaksanakan secara komprehensif membabitkan pelbagai pihak khususnya pertubuhan belia di sekolah, universiti, pusat kemahiran dan institut awam.

Kerajaan boleh mencontohi negara luar mendedahkan pengetahuan awal mengenai pilihan raya kepada pelajar untuk memandu mereka kepada proses lebih kompleks berkaitan sistem pemilihan di negara ini. Ini adalah satu proses jangka panjang perlu diperhalusi pada peringkat dasar demi mewujudkan suasana politik baharu dalam negara.

Penulis adalah Penolong Pengarah Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan


Sumber I BH Online

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo