NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bekas pegawai MOF pertahan Lim, sangkal dakwaan 'tanglung' Tajuddin


Dakwaan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman berkenaan diskriminasi kaum dalam Kementerian Kewangan ketika pentadbiran PH mengundang kecaman, termasuk oleh sekurang-kurangnya seorang bekas pegawai menteri ketika itu Lim Guan Eng.

Dalam ciapan di Twitter, wartawan Rahmah Ghazali mengimbas kembali tempoh empat bulan dia menjadi setiausaha akhbar Lim.

"Saya kerja dengan menteri kewangan selama empat bulan selepas pembangkang (PH) ambil alih kerajaan.

"(Kakitangan) Melayu ramai je, masa hari raya setiap jabatan buat rumah terbuka," katanya.

Ketika menjadi ahli panelis program Wacana Sinar anjuran Sinar Harian semalam, Tajuddin menuduh Lim meminggirkan pegawai Melayu dan membawa pasukannya sendiri ke dalam kementerian itu.

"Berapa ramai pegawai Melayu yang dibuang? Pejabat menteri kewangan dah jadi macam tempat tokong Cina. Banyak pergi pakai seluar pendek.

"Mana ada orang Melayu boleh pijak tangga atau masuk dalam pejabat Kementerian Kewangan pada masa itu?" soal Tajuddin.

Ketika itu moderator wacana cuba menyatakan bahawa tiada salah jika pegawai diambil berdasarkan merit.

Namun Tajuddin menepis cubaan moderator untuk mencelah dengan mendakwa moderator sudah "hilang kemelayuannya".

"Merit apa? Dia (Lim) buat jadi tanglung. Semua pegawai Kementerian Kewangan diletakkan dalam bilik, tak buat kerja.

"Dia bawa satu pasukan baru, semua budak-budak dia. Anda tahu tak? Jadi inilah sebabnya kita tak boleh biarkan PH terus memerintah," dakwanya lagi.

Berdasarkan pengalamannya, Rahmah menyangkal dakwaan Tajuddin dengan berkata dekorasi dan rekaan dalaman pejabat Lim tidak diubah daripada sejak menteri sebelumnya, iaitu Najib Razak.

Seorang lagi wartawan, Amer Hadi Azmi, turut mengongsikan imej yang pernah tular sebelum ini, iaitu gambar ayat al-Quran yang dibingkai dan digantung di dinding di belakang meja menteri, sejak era Najib sehingga ketika Lim menjawat jawatan itu.

Wacana itu yang bertajuk ‘Demi Rakyat atau Kuasa’ dan turut menampilkan pemimpin PKR dan PAS sebagai ahli panel.

Tajuddin pada mulanya diminta memberikan pandangan berhubung pendirian Umno bahawa pemimpin parti itu yang dikatakan "kluster mahkamah" berdepan pendakwaan politik, dan jika sebarang perubahan dalam PRU15 akan mengembalikan keyakinan mereka terhadap sistem kehakiman.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo