NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bebas atau bela diri? Keputusan kes Syed Saddiq diketahui esok

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid dijadual membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan Syed Saddiq (foto) pada jam 9.30 pagi. - Foto fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada penyandang kerusi Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil untuk membela diri atau dibebaskan atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram akan diketahui esok di Mahkamah Tinggi di sini.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid dijadualkan membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9.30 pagi.
Sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada pihak pendakwaan yang berpendapat wujud kes prima facie terhadap Syed Saddiq, 29, maka beliau akan dipanggil membela diri, manakala jika sebaliknya presiden MUDA itu akan dilepas dan dibebaskan.
Pada 27 Sept lepas, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu yang bermula 21 Jun manakala pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 6 Okt.
Antara saksi-saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah ibu dan bapa Syed Saddiq, Shariffah Mahani Syed Abdul Aziz dan Syed Abdul Rahman Abdullah Asagoff serta Rafiq Hakim Razali iaitu bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) serta Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nurul Hidayah Kamarudin, Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Mohd 'Afif Ali manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.
Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo