NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar beri bayangan Nurul Izzah pertahan kerusi Permatang Pauh


BAYAN LEPAS -
Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar berkemungkinan besar akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November nanti.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berkias kepada media pada malam Sabtu selepas menghadiri Majlis Makan Malam PKR Pulau Pinang di Spice Arena di sini.

"Biar saya bagi anda 'scoop', berkemungkinan menuju ke arah itu (mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh).

"Kemungkinan besar, kemungkinan yang amat besar," katanya.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh sebelum ini menjadi kubu kuat Anwar dan keluarganya, yang menyandang kerusi Parlimen tersebut sejak 1982.

Nurul Izzah memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti lebih 15,000 undi.

Mengulas desas desus yang menyatakan Nurul Izzah akan bertanding di Ampang, Anwar secara berseloroh berkata, perkara itu akan dipertimbangkan.

"Mengapa anda nak tolak dia (Nurul Izzah) ke Ampang? Saya ada fikir lain apabila anda mencadangkan perkara ini.

"Saya ada masa untuk memberi pertimbangan (untuk Nurul Izzah bertanding di Ampang)," katanya.

Dalam pada itu, Anwar bertekad untuk menuntut semula kerusi yang hilang setelah ia dikhianati oleh calon parti itu yang berpaling tadah.

Sambil melabelkan mereka sebagai pengkhianat tanpa menyebut nama, beliau berkata, kerusi diisi pemimpin yang mengkhianati parti itu perlu dirampas semula.

"Kepala pengkhianat itu di Gombak dan ekornya di Nibong Tebal.

"Mereka kini membawa naratif bahawa mereka tidak pernah meninggalkan parti tetapi dipecat. Benar, jika anda telah meninggalkan gelanggang, maka keluar lah, sama ada anda dipecat atau tidak, ia hanya satu proses,” kata Anwar lagi.

Mengenai sama ada parti sudah memutuskan calon yang akan bertanding di kerusi-kerusi tersebut, beliau berkata, calon-calon yang dipilih adalah sangat berwibawa.

"Ia bukan hanya calon tetapi adalah membawa dasar yang jelas," katanya.

Pada Februari 2020 yang lalu, 11 Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti dan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Antara mereka adalah Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo