NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Tiada perbincangan, perjumpaan dengan Tun M' - Anwar


BAYAN LEPAS -
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa tiada perbincangan atau perjumpaan dengan Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad buat waktu ini.

Beliau bagaimanapun berkata, ketika ini lebih sesuai bertemu rakyat bagi menumpukan terhadap permasalahan yang dihadapi mereka, bukannya membawa percaturan peribadi dan sebagainya.

"Bila? Kerjasama apa? Siapa kata? Saya kata nak berbincang siapa-siapa pun boleh bincang. Mungkin ada pertemuan. Jika diperlukan hari ini, saya ada di Pulau Pinang, esok di Sabah, lusa di Sarawak. Buat waktu ini, lebih baik saya menemui rakyat.

"Oleh itu, dalam keadaan sekarang ini, usul-usul (untuk) adakan pertemuan itu seolah-olah belum ada. Berpuluh kali dah ada pertemuan sebelum ini, jadi sebab itu saya lebih merujuk kepada dasar apakah benar kita menolak rasuah, bukan nak menolak UMNO saja.

"Ini bukan soal nak menolak Najib dan Zahid saja, tetapi menolak sistem yang mendukung, merestui rasuah, kezaliman, penghinaan orang dan penghinaan kaum," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Makan Malam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang di Spice Arena di sini pada Sabtu.

Anwar berkata, beliau lebih cenderung untuk melihat pilihan raya ini berdasarkan tawaran program kepada rakyat serta kewibawaan barisan kepimpinan untuk memulihkan ekonomi dan mengangkat semula darjat negara.

Sebelum ini, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau bersedia untuk bertemu dengan Dr Mahathir bagi membincangkan kerjasama sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Namun menurut beliau, gabungan tersebut mesti menjelaskan dahulu apakah prinsip yang akan dibawa demi masa depan negara.

Anwar berkata demikian bagi mengulas kenyataan Dr Mahathir yang bersedia bertemu beliau untuk bekerjasama dalam menyekat kerajaan pimpinan UMNO, BN daripada terus berkuasa menerusi PRU15, 19 November ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau ada menerima permohonan untuk berjumpa daripada pihak Dr Mahathir, Anwar bagaimanapun enggan mengulas lanjut.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo