NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

ADUN Sungai Udang kekal sokong Bersatu, PN


KUALA LUMPUR
– Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebagai ADUN Bersatu yang menang di kerusi DUN Sungai Udang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun lepas, beliau konsisten bersama parti itu meskipun berlaku pergolakan politik dalaman parti itu baru-baru ini.

“Walaupun Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen telah melepaskan keahlian dan jawatannya di dalam parti saya bersama semua ahli Bersatu di dalam DUN Sungai Udang dan Bahagian Bersatu tetap bersama dengan parti ini dan PN.

“Biarlah, itu pendirian dia (Mohd Rafiq), tetapi kami akan terus berjuang di bawah panji bendera Bersatu dan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mohd Rafiq selaku Naib Presiden Bersatu mengumumkan keluar parti, sekali gus melepaskan semua jawatannya berkuatkuasa serta-merta.

Menurutnya, ia susulan namanya tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) meskipun pada peringkal awal beliau dimaklumkan bertanding di kerusi berkenaan oleh pucuk pimpinan tertinggi.

Beliau berasa sedih dan terkilan apabila segala usaha dan khidmat baktinya di Parlimen Tangga Batu selama lebih enam tahun sejak 2016 tidak diberi pertimbangan adil dan sewajarnya.

Dalam pada itu, Dr Aleef menegaskan, tidak timbul isu boikot daripada beliau sendiri mahupun ahli-ahli Bersatu khususnya dari DUN Sungai Udang pada PRU15.

“Tidak timbul isu boikot bahagian Bersatu terhadap calon daripada Pas yang akan bertanding di Parlimen Tangga Batu, 19 November ini.

“Malah kami sentiasa menyokong dan bekerja keras bersama Pas bagi mencapai kejayaan di Parlimen Tangga Batu kelak.

“Kami percaya dengan penyatuan Bersatu dan Pas di dalam PN akan mampu memenangkan calon diputuskan pucuk pimpinan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo