NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Zahid Hamidi bebas pertuduhan terima rasuah VLN

SHAH ALAM: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, atas 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan kes prima facie bagi kesemua tuduhan terhadap Presiden UMNO di akhir pendakwaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Yazid Mustafa memerintahkan Ahmad Zahid dibebaskan daripada semua tuduhan utama dan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009/ Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Mohd Yazid berkata, selepas menimbangkan semua bukti dan keterangan secara keseluruhan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu didakwa menerima suapan daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, berkaitan kontrak syarikat terbabit sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

Keputusan di akhir kes pendakwaan dibuat oleh Hakim Mohd Yazid selepas mahkamah selesai mendengar keterangan 18 saksi di mana pendakwaan menutup kesnya pada 11 Ogos lalu, dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung selama 33 hari bermula pada 24 Mei tahun lalu.

Antara saksi penting yang dipanggil memberikan keterangan adalah dua bekas Pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khiun dan Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun dan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, V Mahendran.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 tuduhan menerima suapan SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN) mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo