NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Syed Saddiq persoal MyRC untuk pelarian

SYED SADDIQ: Berapa puluh juta duit cukai rakyat pula yang akan dibelanjakan untuk membangunkan sistem ini? - Foto fail/Sinar Harian

SHAH ALAM: Keputusan kementerian Dalam Negeri (KDN) menguatkuasakan penggunaan Kad Pengenalan Khas (MyRC) sebagai rekod maklumat terhadap pelarian di negara ini dipersoal memandangkan ia sudah pun wujud dan didaftarkan melalui kad yang dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan seharusnya mengiktiraf dan bekerjasama dengan UNHCR dalam menghadapi isu ini jika benar-benar serius terhadap nasib yang menimpa mereka.
Menurutnya, hal ini kerana UNCHR mempunyai kepakaran dan berpengalaman dalam menguruskan hal tersebut.
“Kerajaan hanya menggunakan alasan kesan maklumat pelarian melalui penggunaan kad MyRC sedangkan pelarian ini kebanyakannya sudah berdaftar dan memiliki kad daripada UNHCR.
“Data dan maklumat ini memang tersedia dan dimiliki oleh pejabat UNHCR Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan kerajaan bersetuju melaksanakan Sistem Maklumat Pengesanan Pelarian (TRIS) bagi mengumpulkan data pemegang kad UNHCR di negara ini.
Menurut Menteri KDN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, semua pemegang kad UNHCR di negara ini perlu didaftarkan di dalam TRIS agar pihak kerajaan dapat mengenal pasti bancian sebenar pelarian yang ada di negara ini.
Mengulas mengenai TRIS, Syed Saddiq turut mempersoalkan tentang keabsahan sistem tersebut.
“Berapa puluh juta duit cukai rakyat pula yang akan dibelanjakan untuk membangunkan sistem ini?
"Sistem ini akan dikawal selia oleh syarikat swasta yang akan dipilih, bukan agensi Kerajaan. Sejauh mana data dan maklumat pelarian ini akan selamat?
“Data yang dikawal oleh kerajaan pun boleh bocor. Apatah lagi sistem data yang baru ini?,” katanya.
Ahli Parlimen Muar itu turut mempertikaikan sikap kerajaan yang tidak memberikan akses penuh kepada UNHCR yang mahu menyiasat dan menyelesaikan isu kematian sesetengah pelarian di negara ini.
“Mereka hanya berpeluk tubuh sahaja. Sekarang ini macam mana kita nak percaya yang pihak kerajaan benar-benar serius untuk melindungi pelarian ini dan bukan mengeksploitasi mereka sahaja?,” katanya. - Sinar Harian






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo