NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lelaki asing didakwa guna pukau tipu pekedai


KUALA LUMPUR: Polis sedang menjalankan siasatan berkaitan satu kes penipuan menggunakan taktik pukau didalangi seorang lelaki dipercayai warga asing dan didakwa aktif menjalankan kegiatan itu di sekitar daerah Serdang.

Ini berikutan polis menerima aduan daripada seorang pembantu kedai sebuah klinik haiwan di Seri Kembangan yang mendakwa menjadi mangsa pukau dan menyerahkan wang tanpa sedar kepada suspek, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata dalam kejadian kira-kira jam 5.48 petang itu, suspek yang memakai pelitup muka berpura-pura mahu membeli makanan kucing berharga RM11.

"Semasa membuat pembayaran di kaunter, suspek memberikan not RM100 dan mengatakan tiada wang kecil. Pengadu seolah-olah terkena pukau dan memberikan wang baki kepada suspek serta not RM100 berkenaan. 

"Setelah suspek beredar, mangsa menyedari lelaki itu tidak membuat pembayaran makanan kucing berharga RM11. Berikutan kejadian itu, klinik haiwan terbabit mengalami kerugian RM111," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Anbalagan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan semakan mendapati pihaknay tidak ada menerima sebarang aduan berkaitan kejadian seumpama itu sebelum ini.

"Ini adalah kes pertama yang dilaporkan berlaku dalam daerah Serdang. Justeru, sekiranya terdapat mangsa lain yang turut mengalami kejadian sama, diminta untuk tampil membuat laporan di balai polis terdekat.

"Sekiranya masyarakat mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek seperti dalam rakaman video yang tular itu, kita mohon mereka menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu tular satu rakaman video dipercayai berkaitan kejadian itu di media sosial dan menerusi suara latar dalam video dikongsi melalui TikTok @petsforme.vc, memaklumkan suspek bercakap dalam satu bahasa yang tidak difahami dan berulang-ulang.

Menerusi ruangan komen, beberapa netizen mendakwa pernah menjadi mangsa suspek sama selain ada juga yang hampir terpedaya dengan taktik digunakan suspek.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo