NOTIS:

Belum ada lagi....

Kes Siti Bainun: Bella selesai bagi keterangan hari ini

0

Bella hadir di Mahkamah Sesyen hari ini untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun yang lebih dikenali sebagai Bella hari ini selesai memberi keterangannya di Mahkamah Sesyen di sini dalam perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiayanya.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Zilfinaz Abbas ketika ditemui pemberita berkata Bella yang merupakan saksi pendakwaan ke-18 selesai memberi keterangan selama dua hari dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Menurut Zilfinaz, remaja itu mula memberi keterangan pada 10.30 pagi dan selesai pada pukul 12.40 tengah hari tadi.
Bella yang berbaju kurung warna merah jambu tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kira-kira 9 pagi, diiringi pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan anggota polis.
Perbicaraan kes itu dijalankan secara tertutup kerana Bella adalah mangsa dan merupakan saksi kanak-kanak yang keterangannya tidak boleh dilaporkan oleh media dan mana-mana pihak yang mengikut peruntukan di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007.
Sementara itu, perbicaraan kes yang sepatutnya bersambung di sebelah petang ditangguhkan kerana saksi pendakwaan ke-19, Inspektor Suhaili Mahad daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat dan mendapat cuti sakit.
TPR Nur Aliana Shakira memberitahu mahkamah bahawa saksi itu migrain dan ia dimaklumkan oleh Inspektor Suhaili menerusi WhatsApp yang dihantar kepada pihak pendakwaan.
Dalam pada itu, Zilfinaz berkata pihaknya perlu mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-19 terlebih dahulu kerana beliau merupakan pegawai penyiasat asal kes itu sebelum saksi pendakwaan ke-20 iaitu ASP Rohaini Baharom memberi keterangan berikutan beliau adalah pegawai yang telah mengambil alih kes berkenaan.
"ASP Rohaini, yang juga saksi pendakwaan terakhir hadir ke mahkamah hari ini, namun beliau telah keluar untuk mengiringi Bella pulang. Pihak pendakwaan sememangnya telah bersedia dan telah menyediakan 200 soalan bagi setiap saksi pendakwaan itu," katanya.
Menurut Zilfinaz, pihak pendakwaan memohon keizinan mahkamah supaya keterangan kedua-dua saksi itu diambil secara mengikut turutan.
Mahkamah kemudian menetapkan 18 dan 19 Okt ini untuk menyambung perbicaraan.
Siti Bainun, 30, berdepan dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi antara Februari dan Jun 2021 di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo