NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan perlu mula, gerakkan usaha bantu pelarian

Menangani isu membabitkan pelarian perlu dimulakan oleh kerajaan terlebih dahulu.- Gambar fail/REUTERS/Tyrone Siu

KUALA LUMPUR: Bagi menangani isu berkaitan pelarian, langkah pertama dan paling penting perlu digerakkan oleh kerajaan.
Pensyarah Kanan Jeffrey Cheah School of Medicine and Health Sciences, Monash University Malaysia, Dr Siti Noraida Habibullah berkata, apa sahaja pelan tindakan atau langkah yang diambil oleh orang persendirian atau badan bukan kerajaan (NGO), tidak akan dapat membantu secara keseluruhan jika polisi yang ada tidak diubah segera.
"Kita memerlukan sokongan dari atas ke bawah tentang kehadiran kanak-kanak pelarian ini dan keperluan mereka, kita perlu mengakui bahawa keperluan mereka adalah sama seperti mana-mana kanak-kanak lain dalam dunia.
"Jadi mereka perlu disokong dari segi pendidikan, untuk mempunyai masa depan, dan membesar dengan berfikir bahawa mereka tidak perlu menjadi beban sepanjang hidup mereka.
"Satu lagi, sudah tentu, adalah kesihatan. Kita semua tahu bahawa Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951, tetapi saya rasa kita tidak boleh terus menggunakan alasan itu, perlu ada seruan untuk perbincangan pelbagai dimensi antara kementerian yang berbeza, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidkan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, kita perlu berkumpul dan membincangkan isu anak pelarian secara keseluruhan.
"Ini harus menjadi langkah pertama kerana jelas ini bukan isu yang boleh anda selesaikan secara silo, anda tidak boleh melakukannya sendiri dan sudah tentu, menangani isu penjagaan kesihatan, akses kepada kanak-kanak pelarian, anda perlu juga membincangkan isu ibu bapa mereka.
"Pada masa ini kita mempunyai 50 peratus diskaun kemasukan ke hospital adalah satu rahmat yang besar. Tetapi jika anda tidak mempunyai pendapatan tetap, anda tidak boleh bekerja, walaupun anda diberi diskaun 90 peratus, ia adalah satu beban. Setiap kali ada kemasukan atau pelarian yang memerlukan pembedahan mesti ada pihak yang akan mohon pembiayaan, untuk derma kerana ia tidak mampan," katanya dalam sesi webinar pelancaran laporan kajian Left Far Behind: The Impact of COVID-19 on Access to Education and Healthcare for Refugee and Asylum-Seeking Children in Peninsular Malaysia, pada Selasa.
Sementara itu, wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Keane Shum, berpendapat, terdapat aspek yang boleh diselaraskan terlebih dahulu sementara menanti tindakan daripada kerajaan.
"Sementara kita menunggu perubahan dasar tersebut, terdapat beberapa perkara yang boleh diambil tindakan terlebih dahulu, iaitu meningkatkan sumber atau menggerakkan sumber untuk pusat pembelajaran alternatif (ALC), itu penting.
"Tetapi apabila kita berbuat demikian, kita tidak boleh lupa bahawa 70 peratus kanak-kanak pelarian tidak dapat mengakses ALC.
"Jadi apabila kita bercakap tentang menggerakkan sumber, ia perlu diarahkan kepada memperluaskan akses dan membawa lebih ramai pelajar kanak-kanak yang tidak mempunyai apa-apa jenis peluang pendidikan.
"Berkaitan dengan penjagaan kesihatan, pengurangan yuran akan menjadi sangat penting jika ia boleh dilakukan kerajaan.
"Sesuatu yang kami juga cuba terokai ialah skim insurans kesihatan yang akan menangani banyak masalah kerana penyedia insurans secara teori boleh bertindak tanpa perubahan polisi, tetapi ia hanya boleh dilakukan jika bayaran itu diturunkan dan jika terdapat rangka kerja undang-undang untuk memastikan sekumpulan besar pelarian diinsuranskan," ujarnya.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo