NOTIS:

Belum ada lagi....

Demam Babi Afrika dikesan di dua ladang di Kerian - DVS

0

Jangkitan itu dikesan melalui ujian reaksi rantai polimerase oleh Institut Penyelidikan Veterinar. - Gambar hiasan/ Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan kejadian penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di dua ladang komersial ternakan itu di daerah Kerian, Perak pada 17 dan 18 Sept lepas.
Kenyataan DVS hari ini memaklumkan perkara itu disahkan melalui ujian reaksi rantai polimerase oleh Institut Penyelidikan Veterinar dan tindakan kawalan serta pencegahan rebakan penyakit ASF telah dilaksanakan.
"Ladang dijangkiti telah disita dan ditahan daripada sebarang pergerakan keluar masuk babi dan kenderaan selain pemantauan (survelan), pemeriksaan klinikal dan persampelan di ladang babi komersial di kawasan terjangkit turut dilakukan.
"Bilik Gerakan di DVS Perak dan Pejabat Veterinar Daerah Kerian telah diaktifkan dengan penglibatan Pejabat Daerah Kerian. Syarat pindah babi dan produk babi dari Negeri Perak ke seluruh Semenanjung Malaysia juga diperketat," menurut kenyataan itu.
Katanya selain itu, tindakan pelupusan segera ke atas baki populasi ternakan tersebut di ladang terjangkit ASF dan daya jejak ke atas kenderaan pengangkut babi yang terlibat dengan ladang dijangkiti turut dilaksanakan.
Menurut DVS, setakat ini wabak itu terkawal dan jangkitan hanya berlaku di daerah Kerian namun orang ramai dinasihat agar tidak panik kerana penyakit ASF adalah tidak zoonotik (tidak berjangkit pada manusia) dan semua pihak diminta membuat laporan jika terdapat kematian luar biasa serta tanda klinikal yang disyaki penyakit berjangkit pada ternakan terbabit di ladang komersial dan rumah sembelih.
"Penternak dinasihatkan untuk tidak menghantar babi ke rumah sembelih sekiranya ada tanda klinikal disyaki penyakit di ladang. Kenderaan pengangkut babi mesti melalui proses disinfeksi secara menyeluruh sebelum dan selepas keluar dari kawasan rumah sembelih.
"Sila laporkan dengan kadar segera kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau terus ke Hotline Bilik Pengurusan Krisis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Putrajaya menerusi talian 03-8870 2041," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut semua ladang babi komersial diminta memperkukuh amalan dan kemudahan biosekuriti di premis masing-masing dengan memastikan pagar perimeter lengkap, tidak berkongsi kenderaan pengangkut babi dengan ladang lain, disinfeksi pakaian serta peralatan ladang dan disinfektan perlu bersesuaian mengikut sukatan pada label.
Penternak dan pekerja ladang juga dinasihat agar tidak melawat ladang lain manakala orang ramai dinasihat agar tidak membeli babi hidup secara terus dari ladang atau kenderaan pengangkut bagi mengurangkan risiko jangkitan ASF.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo