NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rayuan kes SRC: Firma guaman nafi tarik diri wakili Najib


Zaid turut menafikan persetujuan firma guaman itu untuk mewakili Ahli Parlimen Pekan berkenaan dalam rayuan kes SRC tidak bermotifkan wang. - Gambar fail/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Firma guaman yang baharu dilantik untuk mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rayuan terakhir kes SRC International Sdn Bhd menafikan dakwaan bahawa ia akan menarik diri dan meninggalkan bekas perdana menteri itu.
Datuk Mohd Zaid Ibrahim dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan firma guamannya, Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST), tidak pernah membuat sebarang kenyataan semasa pendengaran pengurusan kes itu dalam kamar bahawa ia akan menarik diri sebagai peguam cara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu merujuk laporan berita pada 10 Ogos berhubung pengurusan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan dan mendakwa ia adalah tidak benar atau tidak tepat.

"Firma saya bersetuju mengambil kes ini kerana anak guam kami mempunyai rungutan yang sah berhubung sabitannya terutama mengenai perkara berkaitan kedaulatan undang-undang, undang-undang berkaitan isu berat sebelah dan konflik kepentingan.
"Adalah menjadi tugas mana-mana peguam bela untuk mewakili tertuduh yang mempunyai rungutan sedemikian... Sebagai peguam, tugas kami adalah untuk membentangkan kes anak guam kami sebaik mungkin," katanya.
Zaid turut menafikan persetujuan firma guaman itu untuk mewakili Ahli Parlimen Pekan berkenaan dalam rayuan kes SRC tidak bermotifkan wang.
Katanya jangkaan sah Najib ialah beliau akan mendapat perbicaraan penuh dan adil di Mahkamah Persekutuan, oleh itu, tugas kami sebagai peguam bela beliau ialah untuk membolehkan proses itu berlaku.
Beliau juga melahirkan kekesalan berhubung serangan keji yang dilemparkan terhadapnya secara peribadi dan firma guaman itu.
"Sindiran Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin semalam bahawa peguam yang mengambil kes di saat-saat akhir adalah bermotifkan wang amat tidak adil.
"Di sini, saya ingin menyatakan bahawa sepanjang kerjaya saya sebagai peguam dan ahli politik, saya tidak pernah bermotifkan wang atau kedudukan. Apa yang penting bagi saya ialah keadilan," katanya.
Ketika menjawab kritikan yang dilemparkan terhadap Najib dan firma guaman itu kononnya pelantikan tersebut adalah semata-mata percubaan untuk melengahkan rayuan kes tersebut, Zaid berkata ini merupakan kali pertama Najib menukar peguam dalam perkara ini.
"Saya percaya firma saya telah membawa perspektif baharu kepada kes ini. Atas nasihat kami, Najib telah menggugurkan beberapa usul yang dikemukakan sebelum ini.
"Kami memfokus kepada prinsip perlembagaan, kedaulatan undang-undang, prinsip keadilan semula jadi dan isu undang-undang serta fakta spesifik dalam permohonan untuk perbicaraan semula dan rayuan.
"Kami bersedia meneruskan usul perbicaraan semula pada prosiding Isnin ini. Sebagai peguam, kami bertanggungjawab menegakkan keadilan tanpa rasa takut atau pilih kasih... kami akan terus mewakili Najib selagi beliau percayakan kami," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa firma guaman itu akan menarik diri jika Mahkamah Persekutuan bertegas untuk meneruskan pendengaran rayuan akhir Najib terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC pada Isnin ini.
Pada 26 Julai lepas, Najib melantik Hisyam Teh Poh Teik daripada Tetuan Hisyam Teh sebagai peguam utama, ZIST sebagai peguam cara manakala Liew Teck Huat dan M.Rueben sebagai peguam bersama beliau yang baharu.
-- BERNAMA



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo