NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penyokong Najib serah memo mohon pengampunan Agong

Penyokong Najib serah memo mohon pengampunan Agong

Kuala Lumpur: Penyokong Datuk Seri Najib Razak berhimpun di luar Istana Negara, di sini, hari ini bagi menyerahkan memorandum memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanya selepas sehari bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, semalam, selepas gagal dalam rayuannya berhubung kes menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Bagaimanapun, penyokong Najib mendakwa bekas pemimpin itu tidak mendapat layanan yang adil kerana mahkamah menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak memasukkan bukti tambahan, serta enggan menangguhkan rayuan akhir kes berkenaan untuk memberi masa kepada peguam untuk bersedia.

Kira-kira 300 penyokong Najib yang kebanyakannya berpakaian hitam, berkumpul di hadapan Istana Negara di bawah pengawasan pihak polis.

Beberapa wakil dilihat menghantar memorandum untuk memohon pengampunan daripada Yang Dipertuan Agong.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dilapor berkata, Najib mesti memohon pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari atau hilang kerusi Parlimen.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan daripada pihak Najib sama ada beliau akan memohon pengampunan diraja.

Wakil kumpulan berkenaan, Syed Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz juga memohon Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendesak pengampunan diraja.

Namun, tindakan penyokong Najib dibantah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang melancarkan petisyen pada Rabu supaya Najib menjalani hukuman kerana beliau sudah menjalani proses sewajarnya, iaitu perbicaraan yang adil.

Lebih 30,000 orang sudah menandatangani petisyen itu setakat ini, dengan menyatakan Najib 'memalukan negara' dan harus menjadi contoh kepada mana-mana pemimpin yang berpendapat mereka boleh menyalahgunakan kuasa.

Najib memohon perbicaraan semula minggu lalu selepas mendakwa hakim mahkamah tinggi yang mensabitkannya pada 2020 mungkin mempunyai konflik kepentingan kerana peranannya sebelum ini di sebuah bank yang menyediakan perkhidmatan kewangan kepada 1MDB tetapi mahkamah menolak permohonan itu.

Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan dan hukuman Najib berkata, rayuan itu adalah tanpa merit kerana pembelaan "sememangnya tidak konsisten dan luar biasa" dan memerintahkan beliau memulakan hukumannya dengan segera.

Najib dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuannya sebelum ini.

Najib didapati bersalah pada 2020 atas tujuh pertuduhan rasuah kerana menerima secara haram RM42 juta daripada SRC International, bekas unit 1MDB.

Esok, Najib akan dihadapkan ke mahkamah dalam keadaan bergari untuk perbicaraan atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo