NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan rangka dasar pacu hala tuju, perkasakan pendidikan tahfiz

Idris mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk DPTN, semalam. - Foto ihsan Facebook Datuk Idris Ahmad

PUTRAJAYA: Kerajaan sedang merangka Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sebagai rujukan penting yang utama dalam usaha memacu hala tuju dan memperkasakan pendidikan tahfiz di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata DPTN meliputi teras dan strategi yang bersifat menyeluruh serta memerlukan pembabitan semua pihak seperti kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, majlis dan jabatan agama islam negeri (JAIN), pihak berkuasa tempatan (PBT), persendirian dan swasta.

Beliau berkata, DPTN bertujuan memastikan usaha bersepadu dapat dilaksanakan bagi mengangkat kualiti dan standard pendidikan tahfiz, sekali gus menjamin masa depan pelajarnya.

"Lebih membahagiakan, dasar ini akan memperincikan segala bentuk teras yang menjadi fokus dalam memantapkan undang-undang, mewujudkan model tahfiz, mewujudkan kurikulum tahfiz arus perdana, memperkasa tadbir urus serta mewujudkan sistem pengiktirafan terhadap huffaz dan institusi tahfiz," katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau.

Semalam, Idris mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk DPTN kali pertama yang dihadiri agensi bawahnya, selepas usaha membangunkannya pada 2017.

Beliau berkata, Malaysia bukan saja mahu menjadi sebuah negara maju, bahkan berkat serta sejahtera.

Katanya, beliau masih ingat bahawa sebelum ini ada segelintir masyarakat melemparkan tohmahan terhadap subjek agama dan tahfiz kononnya seolah-olah tiada masa depan dalam bidang kerjaya.

Namun kini, beliau berkata, wujud kesedaran cukup besar dengan pendidikan sedemikian menjadi sebahagian besar daripada pilihan anak-anak dalam masyarakat Islam negara ini.

Idris berkata, bidang itu bukan hanya menumpu pendidikan untuk mendapatkan pekerjaan, namun juga membina jati diri Muslim yang kuat ke arah mencapai keredaan Allah SWT. 

Katanya, beliau bersama seluruh pasukan berazam bersungguh-sungguh untuk melaksanakan agenda dan dasar yang cukup memberi makna kepada seluruh umat Islam di negara ini.

"Diharapkan suatu masa nanti, institusi tahfiz akan berdiri sama tinggi dengan dasar pendidikan yang sedia ada," katanya.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo