NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu kebocoran data iPay88 dibawa ke Kabinet


Kuala Lumpur: Isu kebocoran data dan keselamatan siber membabitkan penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian, iPay88 akan dibincangkan dalam Kabinet.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia susulan terdapat cadangan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berkenaan.

"Itu kita akan bawa dalam Kabinet pasal ada cadangan suruh buat RCI. Kita akan bawa ke Kabinet kerana perkara itu perkara besar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Pavilion Pahang pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Media sebelum ini melaporkan, iPay88 mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang mungkin menjejaskan data kad pengguna.

Dalam kenyataan, iPay88 dilaporkan berkata, sejak 31 Mei lalu, ia sudah menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu berkenaan.

Kenyataan itu turut menjelaskan siasatan sedang dijalankan dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berhubung pelanggaran keselamatan itu.

Susulan itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, kementerian mengambil tindakan serta-merta berhubung insiden keselamatan siber membabitkan iPay88.

Katanya, perkara itu dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi dan Cyber Security Malaysia (CSM) yang mengadakan pertemuan dengan pihak iPay88 semalam.


Sumber | Harian Metro







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo