NOTIS:

Belum ada lagi....

iPay88 sahkan keselamatan data kad pengguna terjejas

0


Kuala Lumpur: Penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian, iPay88 mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang mungkin telah menjejaskan data kad pengguna.

Dalam satu kenyataan semalam, iPay88 berkata sejak 31 Mei lalu, ia menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu berkenaan.


Ia berkata, siasatan sedang dijalankan dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta pihak lain yang berkaitan berhubung pelanggaran keselamatan itu.

"Proses penyekatan berjaya diselesaikan dan tiada lagi aktiviti mencurigakan dikesan sejak 20 Julai.

"Bagi memastikan keselamatan data kad berterusan, kami telah melaksanakan pelbagai langkah dan kawalan baharu untuk mengukuhkan keselamatan sistem terhadap sebarang insiden selanjutnya," katanya.

Syarikat e-dagang itu berkata, rakan kongsi institusi kewangannya sentiasa dimaklumkan perkembangan terkini dan perkembangan selanjutnya berhubung insiden itu akan dimaklumkan kelak.

"Kami akan terus memantau situasi ini dengan rapat dan memastikan keselamatan data pemegang kad," katanya.

Sementara itu, Persatuan Bank-bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (Aibim) menegaskan dan mengesahkan pihak bank sentiasa memberi perhatian serius kepada keselamatan data pemegang kad.

Dua persatuan itu menjelaskan bank melakukan langkah balas keselamatan tambahan untuk melindungi pemegang kad daripada risiko yang berpotensi berlaku.

Langkah ini termasuk tetapi tidak terhad kepada peningkatan pemantauan penipuan dalam masa sebenar untuk mengesan tingkah laku penggunaan kad yang luar biasa dan penipuan, menurut persatuan itu dalam kenyataan bersama pada Khamis.

"Bank melaksanakan langkah keselamatan berbilang peringkat yang ketat seperti pengesahan dwi-faktor untuk menghalang transaksi kad kredit dan kad debit tanpa izin.

"Bank akan menghubungi pemegang kad secara terus menerusi saluran rasmi bank jika pihak bank mengesan transaksi luar biasa yang mungkin memerlukan pengesahan tambahan. Pemegang kad juga perlu menghubungi bank masing-masing menerusi pusat panggilan atau cawangan untuk bantuan berkaitan perkara ini," menurut ABM dan Aibim.

Anggota ABM dan Aibim juga menyakinkan pemegang kad bahawa pelanggan boleh terus menggunakan kad bank mereka seperti biasa selain diingatkan supaya sentiasa menyemak penyata bank dan pemberitahuan transaksi mereka dari bank.

"Sekiranya pemegang kad mengesan sebarang transaksi yang tidak dibenarkan, mereka perlu segera menghubungi bank mereka di nombor yang tertera di belakang kad bank untuk mendapatkan bantuan.

"Pemegang kad diingatkan, memandangkan ancaman keselamatan siber yang lebih sofistikated, adalah penting untuk berwaspada pada setiap masa," jelas persatuan itu.


Sumber | Harian Metro 






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo