NOTIS:

Belum ada lagi....

Universiti Thammasat terajui usaha jadikan Bahasa Melayu bahasa ketiga sektor pendidikan Thailand

0

Universiti Thammasat berusaha mewujudkan kerjasama dengan beberapa universiti lain di Thailand untuk menawarkan kursus Bahasa Melayu. - Gambar/ FB Thammasat University

BANGKOK: Bahasa Melayu berpotensi besar untuk dijadikan sebagai bahasa ketiga dalam sektor pendidikan di Thailand, selaras dengan kedudukan geografi negara itu yang berjiran dengan Malaysia dan Indonesia.
Pengarah Institut Pengajian Asia Timur Universiti Thammasat, Bangkok, Dr Chaiwat Meesanthan, yang juga tenaga pengajar kursus Bahasa Malayu di sini, berkata pelbagai usaha sudah digerakkan oleh pihaknya serta pihak berkepentingan yang lain untuk memperkenalkan Bahasa Melayu di semua peringkat sektor pendidikan di Thailand.

"Buat ketika ini, sudah ada 17 universiti awam di Thailand menawarkan kursus Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga dan saya sangat berbangga kerana ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar," jelas Dr Chaiwat ketika ditemui Astro AWANI di sini.

Tambah Dr Chaiwat, usaha kini terarah untuk mewujudkan kerjasama dengan beberapa universiti lain di Thailand yang menawarkan kursus Bahasa Melayu.
Dr Chaiwat Meesanthan, berkata pelbagai usaha digerakkan untuk memperkenalkan Bahasa Melayu di semua peringkat sektor pendidikan di Thailand.



Kerjasama ini penting untuk memungkinkan pengwujudan sebuah standard khusus Bahasa Melayu untuk digunakan universiti tempatan di Thailand, baik dari segi silibus sehinggalah pemarkahan, katanya.
Tambahnya, pihaknya juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Thailand bagi mewujudkan silibus Bahasa Melayu di peringkat sekolah menengah dan rendah.
Ia bagi membolehkan Bahasa Melayu diajar dengan lebih sistematik dan berkesan, terutamanya di wilayah-wilayah yang masih menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan seharian.
"Ramai pelajar di Universiti Thammasat teruja untuk menguasai Bahasa Melayu kerana mereka ada peluang untuk menggunakannya lebih banyak kalau dibandingkan dengan bahasa-bahasa Eropah.
"Tambahan lagi sekarang banyak jawatan kosong yang memerlukan graduan yang menguasai Bahasa Melayu," tambah Dr. Chaiwat, yang juga merupakan graduan Akademi Pengajian Melayu dan Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.
Tambah menarik, tanggapan bahawa pelajar berketurunan Melayu sahaja yang berminat untuk mendaftar juga salah kerana komposisi pelajarnya adalah dari pelbagai latar belakang.
Untuk rekod, Thailand mempunyai sekitar 7.5 juta warga beragama Islam, dengan kebanyakannya berketurunan Melayu, yang berasal dari wilayah Narathiwat, Pattani dan Yala.
Universiti Thammasat mula memperkenalkan kursus Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga sejak tahun 2000 dan program berkenaan dianggarkan sudah menghasilkan 1,500 graduan.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo