NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Shahril nafi terima RM1.16 juta daripada UKSB


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan menafikan dakwaan beliau pernah menerima RM1.16 juta dana politik daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Shahril dalam satu hantaran di Facebook, hari ini berkata beliau bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya diminta untuk membantu siasatan.

"Saya menegaskan bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali. Malah, saya juga tidak mempunyai sebarang pengetahuan berkenaan lejar yang kononnya mengandungi nama 'S Pat' mahupun kandungan lejar tersebut.

"Saya selanjutnya menyatakan bahawa saya bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam apa jua keadaan sekalipun berkenaan perkara ini," katanya.

Terdahulu, pada perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa Shahril serta dua bekas menteri MCA menerima hampir RM10 juta derma politik daripada UKSB.

Bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, yang juga saksi pendakwaan ke-17 memberitahu mahkamah, syarikat itu memberi sumbangan dana RM1.16 juta kepada Shahril untuk tujuan politik dan Pilihan Raya Umum (PRU).

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh, Siong Sun berkata sumbangan diberikan secara bulanan kepada Shahril merujuk kepada kod nama 'S Pat' dalam buku lejar syarikat berkenaan.

Siong Sun berkata selain Shahril, bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy serta bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Ong Ka Chuan turut diberi derma politik oleh UKSB, masing-masing berjumlah RM7.85 juta dan RM922,820.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo