KUALA LUMPUR: Seramai 160 usahawan muda di Johor menyertai Program Bijak Usahawan Muda anjuran Yayasan Bank Rakyat (YBR) di Kota Tinggi, hari ini, bertujuan memperkukuh pengetahuan asas keusahawanan dalam perniagaan yang diceburi melalui modul perniagaan yang diterapkan.
YBR berkata, program dengan kerjasama Persatuan Belia Bintang Selatan Johor Bahru selama dua hari, mendedahkan peserta kepada pengurusan perniagaan melalui tiga modul, bermula di peringkat asas, pengurusan pentadbiran dan perakaunan sehingga menembusi peringkat pasaran dalam talian serta penjenamaan.
"Galakan dan dorongan perlu diberikan kepada usahawan dalam merancang strategi pemasaran yang lebih baik serta memastikan perniagaan mereka mempunyai matlamat yang jelas.
"Ia juga secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi serta isi pendapatan rumah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Program penutup majlis itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin.
Yang turut hadir, Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Pegawai Belia dan Sukan Daerah Kota Tinggi, Ruhisyam Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Belia Bintang Selatan Johor Bahru, Nor Akmal Muhammad.
Aznan berkata, program berkenaan adalah satu daripada langkah terbaik, terutama bagi membantu anak muda untuk terus bergiat aktif dalam bidang keusahawanan sebagai kerjaya utama untuk mendepani masa depan yang lebih baik.
"Rata-rata anak muda mempunyai hasil idea dan produk tersendiri untuk diperkenalkan dan dipasarkan, namun tiada bimbingan serta asas pengetahuan yang mencukupi.
"Pengalaman saja tidak cukup dalam membantu seseorang usahawan untuk membangun dan berkembang ke peringkat seterusnya, tanpa pengetahuan asas serta sokongan daripada individu atau entiti yang mahir dalam bidang perniagaan," katanya.
YBR turut berharap penganjuran program seumpama itu dapat memberi satu momentum yang besar kepada usaha melahirkan usahawan muda yang berdaya saing dan berdisiplin bagi memperkasa pembangunan ekonomi masyarakat serta negara.
Sumber | Astro Awani
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment