NOTIS:

Belum ada lagi....

Misteri bau busuk terjawab, JAS temui tapak pembuangan sisa kimia haram

0

Penguat kuasa JAS menemui sebuah kawasan paya yang dipenuhi sisa kimia bercampur aduk dengan sampah domestik serta sisa-sisa ricihan plastik. - Gambar/ Astro AWANI

DENGKIL: Misteri bau busuk yang mengganggu penduduk sekitar Dengkil, Cybersouth dan Presint 5, Putrajaya di sini, sejak seminggu lalu akhirnya terjawab dengan penemuan tapak pembuangan bahan kimia haram.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tinjauan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di lokasi tapak pelupusan sampah haram di Kampung Semarang berdekatan Kampung Orang Asli Bukit Jenuk, Sepang mendapati lebih 100 tong besi berisi bahan kimia dibuang di lokasi berkenaan.

Justeru katanya, sebuah pasukan khas digerakkan JAS bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.

"Saya ingin tegaskan bahawa saya telah arahkan JAS untuk mencari sampai ke lubang cacing, siapa yang bertindak membuat pelupusan haram ini.
"Nasib baik, kebetulan kawasan ini tidak bersambung dengan Sungai Langat yang terdekat iaitu kira-kira 700 meter dari ini. Cuba bayangkan kalau air ini mengalir ke sungai dan memaksa loji air ditutup?," katanya pada sidang media selepas meninjau tapak pembuangan bahan kimia haram di sini, pada Selasa.
Tuan Ibrahim memberitahu, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat, namun JAS menahan sebuah jentera berat dan juga berjaya mengenal pasti beberapa indikator seperti label pada tong yang dibuang.
Menjelaskannya, beliau berkata, sebaik menerima aduan daripada penduduk sekitar, siasatan secara intensif dimulakan sejak 30 Jun sehingga 3 Julai lalu membabitkan semua punca yang berpotensi seperti kilang, tapak pelupusan sisa lengai, rizab sungai, premis barang lusuh, saluran paip gas, kawasan pertanian revolusi, bengkel dan aktiviti perternakan bagi mengesan sebarang aktiviti yang mencurigakan.
Beliau memberitahu, pada 4 Julai lalu, JAS berjaya menjejaki lokasi sebenar punca pencemaran bau kimia yang dianggarkan seluas 13,000 meter persegi yang juga dikenali sebagai lombong Nam Tak.
"Semasa siasatan, pegawai penguat kuasa JAS menemui kawasan paya yang dipenuhi sisa kimia bercampur aduk dengan sampah domestik serta sisa-sisa ricihan plastik.
“Berdasarkan anggaran, terdapat kira-kira 100 tong besi berkapasiti 200 liter setiap satu yang mengandungi sisa kimia yang disyaki bahan buangan berjadual (BT) berbentuk cecair, separa cecair dan pepejal berwarna.
“Selain itu, terdapat sisa-sisa bekas intermediate bulk container (IBC) yang dipotong yang mana isi kandungannya dialirkan ke sebuah lubang besar yang telah digali oleh pihak yang melupuskan BT tersebut,” katanya lagi.
Tuan Ibrahim turut memaklumkan, JAS mengambil lima sampel untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis komposisi kimia.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo