NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Memorandum gesa bahas usul isu tuntutan waris Sultan Sulu ditolak

BERARAK: Kumpulan Solidariti Anak Sabah semasa melakukan perarakan ke DUN Sabah.

KOTA KINABALU: Memorandum Solidariti Anak Sabah bagi menggesa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Kadzim M. Yahya agar membenarkan usul tuntutan waris Sultan Sulu dibahaskan tidak diterima oleh pihak DUN semalam.

Memorandun yang mengandungi 10 perkara utama itu disampaikan oleh sekumpulan kira-kira 60 individu Solidariti Anak Sabah yang melakukan perhimpunan aman bemula jam 10.50 pagi di Jalan DUN di sini.

Mereka kemudiannya diarahkan untuk berkumpul di kawasan pertama sekatan jalan raya yang diadakan oleh pihak polis sebelum dibenarkan berarak ke kawasan tempat letak kereta di luar bangunan DUN sejauh kira-kira 60 meter.

Permintaan kumpulan Solidariti Anak Sabah itu untuk memasuki bangunan DUN tidak diluluskan oleh pihak polis selepas maklumat mendedahkan tiada wakil daripada DUN yang akan menerima memorandun berkenaan.

Selepas tidak dapat berbuat apa-apa, kumpulan Solidariti Anak Sabah kemudiannya beredar dari kawasan terbabit kira-kira jam 1.15 petang.

Wakil Solidariti Anak Sabah Ismail Ayub berkata pihaknya tidak akan berputus asa dan akan mengambil keputusan untuk mengadakan perhimpunan secara besar-besaran bersama rakyat Sabah lainnya.

Tambahnya pihaknya juga akan membuat petisyen agar memorandun terbabit akan diterima dan isu terbabut dapat dibahas di peringkat Parlimen serta DUN.

Sementara itu beliau berkata memorandum itu dibuat selepas usul berkenaan perkara itu sudah ditolak buat kali ketiga di Dewan Rakyat manakala usul sama turut ditolak semasa diutarakan oleh Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di Persidangan DUN Sabah.

“Isu tuntutan terhadap Sabah ini banyak membabitkan hal Sabah dan Malaysia sendiri termasuklah berkenaan isu keselamatan dan pencerobohan yang mendapat perhatian pihak antarabangsa.

“Pihak dewan perlu membahaskan isu berkenaan kerana ia berkaitan dengan rakyat Sabah tambahan pula ianya berhubung kait dengan kedaulatan sempadan negeri Sabah.

“Rakyat juga perlu mengetahui perkembangan semasa berkenaan isu ini dan ianya perlu dibincangkan segera,” katanya.

Dalam pada itu memorandum ini mengandungi perkara berkenaan isu tuntutan Waris Sultan Sulu tidak pernah diselesaikan dan saban tahun isu ini akan ditimbulkan menjelang pilihan raya dan menakutkan warga serta pengundi di Sabah.

Sabah juga sudah mencapai kemerdekaan hampir 59 tahun bagaimanapun isu ini masih dipermainkan dan sebagai sebuah negeri berdaulat, wajar untuk DUN Sabah mengangkat martabat suara rakyat yang mahukan isu ini diselesaikan oleh kerajaan Persekutuan selain mempertahankan hak Sabah.

Speaker DUN Sabah juga bertanggungjawab memperkasa kuasa yang ada sejajar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Suara orang Sabah juga tidak perlu dihadkan berlandaskan keluhuran perlembagaan Sabah sejajar isu kedaulatan dan keselamatan Sabah tanpa kompromi.



Sumber | UtusanBorneo







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo