NOTIS:

Belum ada lagi....

Kerajaan, PH setuju tiada lagi MoU baharu selepas ini - Perdana Menteri

0

Menurut Perdana Menteri, buat masa ini MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai akan diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Tiada lagi perjanjian atau memorandum persefahaman (MoU) baharu akan dimeterai antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) selepas ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kedua-dua pihak mencapai persetujuan itu dalam pertemuan baru-baru ini.
Menurut Perdana Menteri, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai sebelum ini, akan diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.
“Soal sambung tak sambung (MoU) tak penting, yang pentingnya sekarang adalah soal persefahaman untuk kepentingan rakyat masih boleh kita teruskan. Kerjasama bertulis tidak ada lagi lepas ini.
“Kita sama-sama bersetuju untuk tidak ada perjanjian atau persefahaman baharu. Saya pun mesti akur dengan keputusan parti saya. Saya sudah maklumkan kepada mereka (pemimpin PH), UMNO sudah buat ketetapan tidak sambung.
“Tapi dari segi perjanjian secara bertulis, semua sudah bersetuju tidak perlu ada perjanjian bertulis baharu, tapi persefahaman untuk kepentingan rakyat kita boleh diteruskan bagi menjamin kestabilan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Jubli Perak 25 tahun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di sini pada Rabu.
Mengulas tarikh 31 Julai dalam MoU tersebut, Ismail Sabri sekali lagi menjelaskan ia merujuk kepada persetujuan supaya Parlimen tidak dibubarkan sebelum tarikh itu, bukan bermakna tarikh tamatnya MoU berkenaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, persefahaman berkaitan Akta Pendanaan Politik juga antara yang disepakati PH dan kerajaan, malah UMNO turut bersetuju dengannya.
“Ada beberapa lagi persefahaman iaitu untuk pendanaan politik yang kita dah sebut beberapa kali apabila parti-parti menerima dana daripada pihak tertentu, dana politik perlu dizahirkan, perlu diperjelaskan daripada mana dapat dan sebagainya.
"Jadi itu antara perkara-perkara yang termasuk dalam persefahaman dulu sewaktu kita menandatangani MoU dan beberapa persefahaman lain sama ada dari segi Peguam negara...orang yang sama, pendakwa lain, Peguam Negara lain sebagai penasihat kerajaan.
"Jadi itu antara perkara dibincangkan," ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya adakah Parlimen dibubarkan selepas Akta Pendanaan Politik dibentang dan diluluskan, beliau menegaskan isu tersebut tidak berbangkit kerana beliau boleh membubarkan Parlimen pada bila-bila masa.
“Pilihan Raya Umum (PRU) boleh diadakan bila-bila masa. Tak tergantung kepada mana-manalah.
“Sampai waktunya, jika saya anggap sesuai untuk dibubarkan, saya bubarkanlah sama ada tahun ini atau tahun depan,” tegasnya.

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo