NOTIS:

Belum ada lagi....

Isu bekalan minyak masak, ayam, telur dibentang dalam mesyuarat esok

0

MUSTAPA: Laporan terkini berhubung kedudukan bekalan minyak masak dalam paket satu kilogram, ayam dan telur dalam pasaran akan dibentangkan dalam mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi esok. - Gambar fail/BERNAMA

PUTRAJAYA: Laporan terkini berhubung kedudukan bekalan minyak masak dalam paket satu kilogram, ayam dan telur dalam pasaran akan dibentangkan dalam mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi esok, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau yang mengganggotai pasukan khas itu berkata laporan berkenaan yang akan dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna adalah penting kerana ia dibangkitkan rakyat khususnya berkaitan bekalan.
"Kita melawat ke kedai memang sesetengah kedai tu langsung tidak ada (bekalan minyak masak paket).
Esok kita jangka akan terima laporan tentang kedudukan terkini, dan yang penting tindakan-tindakan yang sudah diambil dan setakat mana ia berkesan untuk pastikan bekalan dan harga (tidak melebihi harga siling)," katanya kepada media selepas merasmikan cawangan Richiamo Coffee ke-99 dan kiosk pertama Richiamo Coffee di sini hari ini.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 29 Jun lepas bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang berperanan mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai bagi menyelesaikan isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan berkesan.
Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi itu dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa. Ia dianggotai lima ahli iaitu Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi; Mustapa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Dalam mesyuarat pertama pasukan itu pada 30 Jun, antara perkara yang dibangkitkan ialah kekurangan bekalan minyak masak paket satu kilogram dan isu orang tengah atau kewujudan kartel dalam menentukan harga barang keperluan di pasaran.
Richiamo Coffee merupakan jenama tempatan yang memulakan operasinya sejak 2015 dan telah mempunyai 105 cawangan di seluruh Malaysia setakat ini.
Cawangan ke-99 di Menara Prisma itu dimiliki dan dikendalikan oleh Empire Coffee Works dan adalah cawangan keempat selepas Wisma Bernama (Kuala Lumpur), Universiti Malaysia Perlis dan Hospital UiTM Puncak Alam, Selangor.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo