NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Usahawan perlu ambil peluang proses peralihan digitalisasi - Ismail Sabri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar (dua dari kiri) hadir pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022 di Hotel Mandarin Oriental. Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Muslimin Yahaya (dua dari kanan), Ketua Setiasuaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad (kiri) dan Timbalan Ketua Setiasuaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Pembangunan Keusahawanan), Datuk Zamri Salleh (kanan). - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa usahawan memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan bagi proses peralihan perniagaan konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi.

Perdana Menteri berkata, perkembangan pesat digital ekonomi wajar dimanfaatkan untuk tujuan pengembangan perniagaan. 

"Kerajaan akan terus bersedia untuk membantu golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang akan dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.

"Kerajaan akan terus menyokong pembangunan dan pertumbuhan sektor perniagaan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) demi memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan," katanya ketika berucap pada Anugerah Kecemerlangan Usahawan 2022, di sini, malam ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Tan Sri Noh Omar. 

Ismail Sabri berkata, Kementerian Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP) adalah nadi penggerak dan memainkan peranan yang penting kepada pembangunan semua golongan usahawan. 

"Adalah menjadi harapan saya, agar KUSKOP dapat menganjurkan lebih banyak program dan inisiatif yang akan memberi manfaat kepada usahawan tempatan selaras dengan matlamat Keluarga Malaysia yang menekankan nilai-nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

"Bersandarkan aspirasi Keluarga Malaysia ini, semua pihak wajar saling menyokong bagi memperkasakan semula sektor perniagaan dan merancakkan usaha pemulihan ekonomi negara.

"Semoga dengan usaha ini, cabaran yang melanda kesan akibat pandemik akan berlalu pergi dengan impian mendatang," katanya. 

Sementara itu, Sumisaujana TCM Chemicals Sdn Bhd muncul pemenang bagi Anugerah Perdana Menteri yang membawa pulang RM100,000, Anugerah Menteri KUSKOP pula dimenangi oleh Respack Manufacturing Sdn Bhd dan Pangkia Barber Shop menang Anugerah Khas Usahawan Cekal.


Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo