NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Umno-PAS sudah sedia di Selangor, tunggu isyarat dari pusat saja’


Kerjasama PAS-Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) di Selangor hampir lengkap dan hanya menunggu isyarat daripada kepimpinan tertinggi kedua-dua parti sahaja, kata Roslan Shahir Mohd Shahir. 

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor itu ketika dihubungi Malaysiakini berkata perbincangan yang dimulakan sejak awal penubuhan MN di peringkat pusat itu berjalan dengan baik.

"Jadi, semua perundingan dan berjalan dengan baik. Cuma dia jadi tersangkut bila ada perubahan di peringkat atasan.

"Tetapi untuk di Selangor ini, kita dah hampir lengkap, antara PAS dengan Umno. 

“Dan kita hanya menunggu signal (isyarat) dari pimpinan pusat parti masing-masing," katanya kepada portal ini.

Roslan berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan terkini kerjasama PAS-Umno di negeri kubu kuat Pakatan Harapan (PH) itu.

Awal Mei lalu, Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar menegaskan bahawa partinya dan PAS di Selangor mesti bekerjasama untuk merampas semula negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Menurut Noh yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi, sekiranya kerjasama itu terbentuk, Umno dan PAS mampu memenangi sekurang-kurangnya 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, Noh berkata semua ketetapan itu bergantung kepada kepimpinan parti di peringkat pusat.

Sementara itu, Roslan berkata mereka kini mengharapkan respons positif daripada Umno.

"Saya yakin di peringkat PAS, insya-Allah kita punya pucuk pimpinan akan mengambil kira pandangan negeri.

“Dan untuk Umno pun kita mengharapkan begitulah dan pimpinan PAS Selangor yakin pada pimpinan Umno Selangor untuk bawa isu ini sampai ke peringkat tertinggi mereka,” katanya.

Roslan Shahir berharap kepimpinan atasan mengambil kira senario di negeri ini yang berbeza dengan negeri-negeri lain.

"Sebab Selangor ini satu antara tiga negeri yang berada di bawah pentadbiran PH, jadi keperluan dia itu mungkin berbeza dengan negeri-negeri lain.

"Maksudnya, keperluan pada kerjasama PAS dengan Umno itu sangat penting kalau kita serius mahu ambil alih kerajaan negeri,” katanya.

Setakat ini, katanya PAS dan Umno di Selangor antara negeri yang ada kerjasama di semua peringkat, daripada atas sampai ke peringkat cawangan.

‘Sepakat isu kerusi’

Malah, kata Roslan kepimpinan kedua-dua parti itu juga mencapai kata sepakat dalam soal pembahagian kerusi serta bersedia sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke 15 yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

"Soal pembahagian kerusi pun kita dah bincangkan dan cuma yang akan muktamadkan adalah pusat. 

“Malah, PAS dengan Umno di Selangor memang dah bersedia untuk hadapi PRU, cuma tunggu lampu hijau dari pusat sahaja,” katanya.

Secara dasarkannya, katanya, “Umno sedar dia memerlukan PAS dan PAS sedar dia memerlukan Umno” di Selangor ini.

‘Tergambar dalam majlis raya’

Turut mengakui kerjasama baik antara kedua parti itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Selayang, Zaidy Abdul Talib.

Menurut Zaidy yang juga bekas exco kerajaan negeri Selangor, hubungan erat itu bertambah baik dengan datangnya Syawal baru-baru ini.

"Setakat ini yang saya lihat melalui majlis-majlis hari raya yang dianjurkan PAS dan Umno di semua peringkat saling menghadiri dan ini satu perkembangan yang baiklah. “Umno pun datang ke majlis yang kita anjurkan. Hubungan silaturahim itu baiklah dan dieratkan lagi dengan datangnya Syawal.

"Insya-Allah selepas syawal ini kita akan adakan pertemuan dan ia merujuk kepada proses kerjasama itu sendirilah," katanya.

Rayuan kepada pemimpin

Setiausaha PAS Kawasan Sungai Buloh, Mohamad Asri Sapar pula berkata pihaknya kekal dengan pendirian bahawa MN perlu diteruskan, baik diperingkat negeri mahu pun di peringkat pusat.

"Cuma, perkara ini di peringkat pusat, kedua-dua parti yang akan buat keputusan yang muktamadlah.

“Dan di Selangor mereka masih memberikan ruang kepada kedua-dua parti ini untuk kita sama-sama mengeratkan muafakat kita di peringkat negeri," katanya kepada Malaysiakini.

Dia juga secara peribadi merayu kepimpinan pusat kedua-dua parti dapat berbincang dan mencari jalan bagaimana MN dapat terus diperkukuh.

"Sebab kita tengok Umno pun dia telah menggubal perlembagaannya bahawa dia meletakkan Islam sebagai salah satu dasar.

"Parti Umno itu sendiri sama dengan PAS, jadi, hanya kerjasama Umno dengan PAS dari sudut strategi politik dalam konteks pilihan raya, insya-Allah gabungan dua parti ini kita boleh menang diperingkat negeri, sama ada di Selangor mahu pun di peringkat persekutuan

"Jadi, saya secara peribadi menggesa dapatkan satu titik persamaan supaya kedua-dua parti ini boleh dapat membuat satu gabungan dalam MN bagi menghadapi pilihan raya akan datang khususnya berdepan dengan PH," tambahnya.

Kerjasama itu dilihat buntu di peringkat pusat setelah Umno menolak kerjasama dengan Bersatu, rakan komponen PAS dalam Perikatan Nasional (PN). 

Malah, dalam dua pilihan raya negeri–Melaka dan Johor–BN bergerak solo manakala PAS pula bersama PN.


Sumber | MalaysiaKini






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo