NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

"Tuduhan Zahid berniat cemarkan reputasi saya" - Tok Pa nafi seleweng dana PRU14 seperti didakwa Presiden UMNO

Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau menyeleweng dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang disalurkan kepada Badan Perhubungan UMNO Kelantan. - Gambar fail

KOTA BHARU: Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan sekeras-kerasnya dakwaan beliau menyeleweng dana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang disalurkan kepada Badan Perhubungan UMNO Kelantan.
Sebaliknya, kata Mustapa, semua dana parti itu telah diuruskan mengikut garis panduan parti termasuklah dana untuk pilihan raya yang diuruskan oleh jawatankuasa berkenaan di peringkat Badan Perhubungan UMNO Kelantan.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ahli Parlimen Bagan Datuk bahawa saya telah menyeleweng peruntukan yang disalurkan kepada UMNO Kelantan.
"Semua dana parti telah diuruskan mengikut garis panduan parti termasuklah dana untuk pilihan raya. Ianya diuruskan oleh jawatankuasa berkenaan di peringkat Badan Perhubungan" katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Mustapa berkata demikian sebagai merujuk kepada dakwaan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam di mahkamah yang mengaitkan nama tiga Ahli Parlimen dari UMNO meninggalkan parti tersebut dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas PRU14 kerana bimbang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dakwa Ahmad Zahid, antara Ahli Parlimen dari UMNO itu ialah Mustapa yang sewaktu menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan diberikan amanah untuk mengendalikan urusan jentera parti.
Kata Ahmad Zahid, sebahagian dana yang sepatutnya digunakan untuk urusan logistik dan membawa pengundi yang bekerja atau bermastautin di Lembah Klang kembali mengundi di Kelantan tidak dibelanjakan, sebaliknya, diberikan kepada isterinya untuk dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Dalam perkembangan sama, Mustapa turut menafikan penyertaannya dalam Bersatu bertujuan untuk mengelak disiasat oleh pihak berkuasa seperti didakwa Ahmad Zahid.
Sebaliknya, Mustapa atau mesra disapa Tok Pa menjelaskan, selepas PRU14, beliau telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali iaitu pada akhir tahun 2018 dan awal tahun 2019.
"Saya dipanggil memberi keterangan mengenai perkara- perkara berikut iaitu sebagai bekas Ahli Jemaah Menteri, saya diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline.
"Dan sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, saya telah memberi keterangan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dana yang dimasukkan ke dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan yang didakwa diperolehi daripada sumber 1MDB," tegasnya.
Jelas Mustapa lagi, SPRM juga telah menafikan perkara berkenaan pada 20 September 2018 sementara Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada ketika itu juga telah memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU14 pada 16 Januari 2019.
"Tuduhan-tuduhan seumpama ini berniat untuk mencemarkan reputasi saya sebagai Ahli Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen.
"Saya juga tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai Bersatu dan tidak pernah menyeleweng dana Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan bagi PRU14. Saya juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan," tambah beliau lagi.

Sumber | Astro Awani




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo