NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sultan minta kerajaan pusat tambah peruntukkan ke Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan bertitah merasmikan mesyuarat kedua bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar hari ini. - fotoBERNAMA

ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menggesa Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan yang lebih banyak kepada Johor berikutan setiap tahun hampir RM13 bilion hasil Persekutuan telah dikutip dari negeri ini. 

Baginda bertitah, ini berikutan beberapa tindakan Kerajaan Persekutuan yang dilihat seolah-olah menganaktirikan Johor dalam beberapa keputusan yang dibuat.

"Saya berasa amat sedih dengan keadaan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggarakan dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

"Kemudahan Pusat Transformasi Bandar (UTC) juga perlu ditingkatkan dengan sistem penyampaian cekap dan keadaan lebih selesa. 

"Saya menyeru kerajaan Persekutuan supaya segera tunaikan janji untuk menaik taraf Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) kepada enam lorong dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) kepada empat lorong. 

"Lihat juga keadaan jalan Persekutuan yang rosak dan berlubang contohnya Jalan Johor Bahru-Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya. 

"Saya rasa seolah-olah Johor ini dianaktrikan, walhal Johor antara penyumbang utama ekonomi negara," titah baginda ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Persidangan Pertama DUN Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini. 

Baginda juga mengingatkan Kerajaan Persekutuan supaya menghormati perjanjian yang termaktub dengan kerajaan negeri dalam penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dan tidak mencabulinya.

"Semua pihak mesti ingat kuasa negeri yang termaktub dalam perjanjian Tanah Melayu, jangan buat keputusan sesuka hati, saya kecewa dengan keputusan Persekutuan membatalkan rayuan tuntutan Batu Puteh pada tahun 2018. 

"Perdana Menteri ketika itu telah membuat keputusan sendiri dengan mengarahkan Peguam Negara cuti berehat pada ketika Kabinet belum dibentuk, Johor langsung tidak dirujuk sedangkan keputusan itu membabitkan tanah dan kedaulatan Johor. Oleh itu saya mahu kerajaan ambil tindakan tegas terhadap pihak yang langgar kuasa negeri. 

"Malah sekiranya kuasa negeri telah dicabuli, maka perjanjian Persekutuan itu boleh dianggap terbatal dengan sendirinya, dan Johor bukan lagi sebahagian dari Persekutuan," titah baginda. 

Pada 13 Jun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata kerajaan dijangka menerima laporan berhubung isu dan tindakan perundangan kes Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh, pada Ogos depan. 

Bagi semakan semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, pasukan petugas khas dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sudah mengemuka dan membentangkan laporan interim mereka pada penghujung April lalu. 

Kebanyakan isu yang dibangkitkan baginda adalah semasa pentadbiran Perdana Menteri terdahulu dan bukannya ketika pentadbiran kerajaan ketika ini. 

Sementara itu, baginda turut menyentuh mengenai kemasukan pelaburan ke Johor. Sejak 2013 hingga 2018 Johor menduduki tempat pertama daripada jumlah pelaburan di Malaysia berikutan keadaan politik stabil pada ketika itu yang telah bawa banyak pelaburan ke Iskandar Malaysia dan Pengerang. 

Namun titah baginda, sejak 2019 hingga kini nilai pelaburan di Johor semakin merosot. 

"Kenapa perkara ini terjadi, puncanya bukan kerana virus COVID-19 tetapi punca utama yang saya nampak adalah virus iri hati dan cemburu pada Johor. 

"Ada pelabur nak membangunkan ladang solar terbesar di Pengerang namun kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan dengan alasan tiada kuota. 

"Ada pelabur hendak membangunkan pusat tenaga dan pelabuhan laut dalam di Perairan Muar. (Ada yang) tidak mahu pembangunan dibuat sedangkan projek itu akan memberikan peluang pekerjaan yang lebih terjamin kepada penduduk tempatan," titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah, jika keadaan itu berterusan, hasrat untuk menarik pelaburan yang besar ke Johor ini sukar dicapai. 

"Oleh itu, saya ingatkan kepada kerajaan negeri supaya buatkan perubahan berani demi kepentingan rakyat dan negeri ini. 

"Saya juga menggesa kerajaan untuk laksana projek pembangunan infrastruktur seperti Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) dan lebuh raya baharu kerana ia akan beri limpahan ekonomi kepada pembekal dan kontraktor tempatan selain buka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. 

"Ingin saya tegaskan bahawa kerajaan negeri juga tidak akan lagi beri hak milik tanah kepada kerajaan Persekutuan. Tetapi mana-mana projek Persekutuan di Johor akan diberi status tanah rizab untuk tujuan yang hendak digunakan," titah baginda.


Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo