NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PTPTN anjur program FLICK, persiap kebolehpasaran graduan

Ahmad Dasuki memberi penerangan dalam slot Peluang Kejayaan Anda kepada peserta program FLICK yang terdiri daripada para pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK). - Foto PTPTN

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) baru-baru ini menganjurkan program bersama pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menerusi Program Literasi Kewangan dan Persediaan Kerjaya (FLICK) di seluruh negara.
Program melibatkan 14 IPTA itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar tentang ilmu pengurusan kewangan dan membantu pelajar dalam membuat persediaan awal sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata ekonomi mencabar serta isu kebolehpasaran graduan tidak wajar dipandang ringan sekali gus usaha proaktif diperlukan bagi meningkatkan daya saing mereka dalam pasaran.
“Program FLICK ini juga memberi pendedahan berkenaan kemahiran pengurusan kewangan yang sesuai dan relevan dengan keperluan semasa.
“Pelajar perlu diberikan kesedaran awal bahawa mengutamakan penabungan merupakan salah satu cara terbaik dalam mengurus kewangan dan membuat pilihan bijak dengan memilih produk simpanan yang menawarkan manfaat serta pulangan yang berbaloi.
“Produk simpanan PTPTN iaitu Simpan SSPN merupakan antara pilihan bagi instrumen simpanan untuk persediaan pendidikan sebagai jaminan masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Perasmian FLICK Pelajar IPTA Tahun 2022 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Ia disempurnakan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Prof Husaini Omar.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Prof Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid.
Sebelum ini, Program FLICK 2022 telah berlangsung di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 14 hingga 15 Jun lalu dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 18 hingga 19 Jun lalu, kemudian disusuli dengan 11 IPTA lain.
Ia juga sebagai sokongan PTPTN kepada Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 yang dilancarkan KPT tahun lalu dalam membantu merancakkan kembali aktiviti kebolehpasaran graduan.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo