NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Perubahan iklim: Kerajaan akan bangunkan pelan adaptasi kebangsaan - PM

Ismail Sabri berkata, ia meliputi sektor kesihatan awam, infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan membangunkan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) berkaitan impak perubahan iklim, yang merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang serta strategi pembangunan kebangsaan untuk pelbagai sektor, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata ia meliputi sektor kesihatan awam, infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti.
Perkara itu antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia atau Malaysia Climate Change Action Council (MyCAC) secara dalam talian yang membincangkan hala tuju pengurusan banjir bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim, katanya.
"Ini berikutan Malaysia terdedah kepada impak perubahan iklim seperti hujan lebat yang mengakibatkan fenomena banjir besar. Ini kerana iklim Malaysia berkelembapan tinggi di samping bentuk muka buminya yang turut menyumbang kepada fenomena ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mesyuarat berkenaan turut dihadiri Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, Menteri-Menteri Kabinet, wakil Ketua Setiausaha Negara dan pakar dalam bidang perubahan iklim.
Beliau berkata antara tindakan lain yang akan dilaksanakan adalah menggalakkan kerajaan negeri mengguna pakai Indeks Adaptasi Perubahan Iklim Malaysia bagi meningkatkan respons kepada impak perubahan iklim.
"Selain itu, tindakan yang akan dilaksanakan ialah mengintegrasi faktor perubahan iklim dalam peringkat perancangan, reka bentuk serta pelaksanaan projek-projek sektor air dan infrastruktur bagi mengurangkan risiko bencana banjir," katanya.
Perdana Menteri berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam penganjuran acara-acara besar, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik selain mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) secara berkesan.
Beliau berkata ia juga berpotensi menarik pelaburan asing, mewujudkan peluang pekerjaan mesra alam serta menjimatkan subsidi bahan api oleh kerajaan.
Ismail Sabri berkata mesyuarat juga bersetuju dengan kerangka dasar pasaran karbon dibangunkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) yang menyediakan panduan asas bagi urus niaga kredit karbon di Malaysia.
"Kerangka ini memberi penekanan kepada kepentingan dan kelebihan urus niaga kredit karbon di peringkat domestik bagi memastikan pelaksanaan mekanisme pasaran karbon dilaksanakan secara telus, sekali gus menepati piawaian antarabangsa serta menyumbang terhadap sasaran pengurangan pelepasan GHG negara," katanya.
Pada masa ini, KASA sedang membangunkan Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon Negara selaras dengan aspirasi negara mencapai pelepasan GHG sifar bersih, seawal 2050.
Beliau berkata komitmen dan usaha kerajaan dalam menerajui agenda perubahan iklim juga akan diteruskan dengan menyertai Persidangan Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) ke-27 di Sharm El-Sheikh, Mesir pada 6 hingga 18 Nov yang merupakan persidangan tahunan bagi membincangkan isu global perubahan iklim.
Perdana Menteri berkata beliau akan mengetuai delegasi negara ke persidangan berkenaan bersama Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri serta Menteri Alam Sekitar dan Air.
"Selaras aspirasi 'Keluarga Malaysia Lestari', Kerajaan Persekutuan bersama-sama kerajaan negeri dan pihak berkepentingan lain akan terus bekerjasama bagi memastikan keupayaan negara dalam menangani isu perubahan iklim dapat diperkukuhkan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia pada masa kini dan akan datang," kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo