NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Nafi wujud konspirasi jatuhkan Siti Bainun kerana cemburu - Saksi

Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. - Gambar/ Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyelidik undang-undang di sebuah firma guaman hari ini menafikan wujud konspirasi untuk menjatuhkan Siti Bainun Ahd Razali kerana cemburu dengan kehidupan pengasas Rumah Bonda itu yang lebih baik.
Suhana Zam, 40, yang juga saksi pendakwaan kelapan tidak bersetuju dengan cadangan peguam Nur A'minahtul Mardiah Md Nor ketika disoal balas pada perbicaraan kes Siti Bainun, bahawa konspirasi itu adalah di antara beliau (Suhana) dan empat rakannya.
Nur A'minahtul: Saya cadangkan Cik Suhana bersama-sama Hani Azura, Syahirah, Zurianty Sudin dan Haiza berkonspirasi untuk menjatuhkan Siti Bainun kerana semua cerita kamu di mahkamah bercanggah dengan tarikh-tarikh kejadian yang telah dirujuk kepada kamu (perbualan di WhatsApp) dan ia telah diakui oleh kamu?
Suhana: Tidak setuju.
Kepada soalan Nur A'minahtul bahawa apabila berlaku percanggahan bermakna kejadian yang diceritakan oleh saksi itu di mahkamah adalah imaginasinya dan ia tidak pernah berlaku, Suhana menjawab "Tidak setuju".
Nur A'minahtul: Konspirasi itu bertambah kuat selepas Cik Suhana baca sendiri kes Bella yang tular di media sosial.
Suhana: Tidak setuju.
Suhana juga menafikan beliau masih berkomunikasi baik dengan Siti Bainun sehingga 11 Julai 2021.
Nur A'minahtul: Selepas tarikh itu (11 Julai) Cik Suhana tidak lagi menjawab WhatsApp Siti Bainun dan keakraban antara kamu dengan Hani Azura, Syahirah, Zurianty Sudin, Haiza bagi memastikan Siti (penghuni Rumah Bonda) yang menjadi saksi (dalam kes ini) dijauhkan daripada Siti Bainun.
Suhana: Tidak setuju.
Saksi itu turut menafikan beliau membuat penipuan sebanyak 16 kali semasa memberi keterangan di mahkamah apabila kenyataannya bercanggah dengan perbualannya bersama Siti Bainun serta rakan-rakannya di WhatsApp.
Disoal seorang lagi peguam yang mewakili Siti Bainun, Asiah Abdul Jalil yang mencadangkan bahawa saksi rasa tidak puas hati sebab semasa penubuhan Rumah Bonda secara rasmi, Siti Bainun melantik ahli jawatankuasa yang baharu dikenalinya pada 2019 dan bukannya saksi itu yang sudah dikenalinya sejak 2009, Suhana menjawab "Tidak setuju".
Asiah: Saya cadangkan kamu cemburu dengan pencapaian hidup Siti Bainun yang jauh lebih baik daripada kamu dan disebabkan itu, kamu mahu Siti Bainun dicemuh dan ditangkap serta kehilangan Rumah Bonda dan anak angkatnya.
Suhana: Tidak setuju.
Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021 mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bersambung.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo