NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia B-23 mula langkah kiri

Penyerang skuad bawah 23 tahun negara Luqman Hakim Shamsudin (kiri) cuba menghalang pemain Korea Selatan Lee Sang-min pada aksi pembukaan Kumpulan C Piala Asia B-23 di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan.- Foto ihsan FAM

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara membuka saingan Piala Asia B-23 dengan langkah kiri apabila tewas 4-1 di tangan juara bertahan, Korea Selatan di Stadium Lokomotiv, Tashkent, Uzbekistan, sebentar tadi.

Kualiti tinggi dimiliki pemain Korea Selatan jelas kelihatan dengan mereka lebih menguasai permainan dan melakukan banyak percubaan berbahaya ke pintu gol 'Harimau Muda' yang dikawal Rahadiazli Rahalim.

Anak buah Brad Maloney hanya mampu bertahan selama 31 minit apabila skuad Taegeuk Warriors memperoleh gol pendahuluan menerusi Lee Sang Min yang menanduk masuk bola sepak sudut, Lee Kang In.

Hanya tiga minit selepas bersambung babak kedua, pintu gol skuad negara bocor buat kali kedua menerusi rembatan deras yang dilakukan Kim Tae Hwan.

Malaysia mendapat peluang terbaik untuk merapatkan kedudukan pada minit ke-52, namun percubaan yang dilakukan kapten, Mukhairi Ajmal Mahadi sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol Korea Selatan.

Mukhairi bagaimanapun menebus kekecewaan itu pada minit ke-83 apabila dia berjaya meledak gol pertama negara selepas tenang menyudahkan hantaran Nik Akif Syahiran Nik Mat.

Ketika skuad negara berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan, sebaliknya yang terjadi apabila Korea Selatan menambah gol ketiga menerusi Cho Young Wook pada minit ke-88.

Young Wook sekali lagi bertindak cemerlang apabila meledak gol keempat Korea Selatan pada masa kecederaan, sekali gus mengesahkan kemenangan selesa 4-1 buat pasukannya.

Anak buah Maloney akan meneruskan aksi Kumpulan C menentang pasukan jiran, Thailand, Ahad ini dan perlawanan terakhir bertemu pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Vietnam (8 Jun).


Sumber | BH Online







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo