NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lonjakan industri hiburan manfaat teknologi NFT


KUALA LUMPUR: Ledakan teknologi Non-Fungible Token (NFT) membangkitkan revolusi baharu pada era digital.

Sesuai peredaran teknologi dunia, permintaan terhadap karya seni dalam bentuk NFT semakin meluas dan penggunaan teknologi berasaskan blok rantaian ini menjadi perhatian selebriti, atlet dan jenama terkemuka di seluruh dunia.

NFT adalah token digital yang membolehkan anda menjual dan membeli hak milik aset digital seperti lukisan, muzik, animasi, GIF, video, permainan video, tiket konsert dan pelbagai lagi.

Sifatnya unik menjadikan setiap aset tidak boleh ditukar dengan sesuatu yang lain dan eksklusif pemilikan.

Antara karyawan tempatan berjaya meraih nilai tinggi untuk karya mereka termasuk artis kontemporari, Red Hong Yi dan penyanyi rap dan komposer kontroversi, Namewee.

Hong Yi berjaya menjual karya bertajuk Doge to the Moon pada nilai RM325,000 di sebuah platform bidaan dalam talian, manakala Namewee meraih RM3.5 juta daripada beberapa foto dan lagu ciptaannya.

Melihat senario ini menjadi kegilaan ramai, apatah lagi, mula popular sebagai aset pelaburan utama, Kelab NFT Malaysia ditubuhkan pada 25 Mac lalu bagi menambahkan ahli komuniti dalam menerokai dagangan baharu ini.

Presiden Kelab NFT Malaysia, Shafuddin Zaharulzaman, berkata ini adalah kelab pertama ditubuhkan bagi mengumpul dan menambahkan individu yang mahu menerokai dunia NFT ini.

Katanya, kelab mahu mengajak anak Malaysia meningkatkan pasaran NFT Malaysia dengan menggabungkan aspek penerbitan kandungan, latihan mahupun menjana idea baharu dalam memastikan peluang ekonomi digital Malaysia rancak menerusi teknologi terkini.

"Kami mahu menjadi hab maklumat kepada rakyat Malaysia khususnya mengenai NFT. Malah, kami juga mahu Malaysia mempunyai hab NFT seperti negara lain.

"Sebelum berdaftar sebagai kelab, sudah ada pemain teknologi NFT dalam kalangan orang Malaysia yang berada di luar negara.

"Mereka kebanyakannya berdagang dan menjadi pengumpul teknologi NFT. Jadi, kami berjaya mengumpul mereka berada dalam komuniti di bawah Kelab NFT Malaysia. 

"Ia juga usaha menggabungkan pemain industri dan pencipta kandungan di seluruh negara," katanya kepada BH Online.

Shafuddin berkata, kebanyakan rakyat Malaysia belum jelas dan memahami teknologi NFT.

"Kami mahu membantu rakyat Malaysia terutama generasi muda mendapatkan latihan dan melahirkan banyak projek yang boleh menjana keuntungan.

"Idea mewujudkan kelab ini sebagai entiti mendidik masyarakat memahami teknologi dan bagaimana untuk memperdagangkan karya serta keperluan lain dalam pasaran.

"Kami juga wujudkan kumpulan Telegram untuk misi ini. Dalam tempoh dua minggu, kumpulan Telegram diwujudkan sudah hampir 300 orang yang berminat mengenai NFT," katanya.


Presiden Kelab NFT Malaysia, Shahfuddin (dua dari kanan) bersama Zizan Nin, Edrie Hashim dan Zed Zaidi. - NSTP/Amirudin Sahib


Shafuddin berkata, projek pertama dihasilkan iaitu Ini Lagu Hari Raya nyanyian Pat Candy, Armand Ezra, Kudien Rafee, Eva Maria, Kelvin Thein, Bunyi.FX dan Edrie Hashim.

"Lagu ciptaan sepenuhnya Edrie dengan kerjasama Kelab NFT Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) dalam usaha membantu kru balik tabir memiliki aset digital sendiri," katanya.

Kelab NFT Malaysia juga menjalinkan kerjasama dengan institut pengajian tinggi bagi menyemarakkan ekosistem NFT di Malaysia.

Buat permulaan, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama MAHSA University (MAHSA) dalam usaha memperkasa dan menerajui kemajuan industri NFT menerusi bidang pendidikan.

Pada majlis di MAHSA University, Bandar Saujana Putra, Selangor, kerjasama itu bertujuan memperkasakan kemahiran dan akademik dalam pengajaran, latihan, penyelidikan serta pembangunan NFT. 

"Ini turut merangkumi program pengajian, pertukaran maklumat dan perkongsian kepakaran. Kerjasama ini membabitkan pertukaran penyelidik, tenaga pengajar dan pelajar. 

"Tak ketinggalan menerusi penganjuran persidangan NFT dan metaverse pada peringkat domestik dan antarabangsa.

"Kerjasama ini mempunyai perancangan unik untuk mewujudkan program diploma dalam bidang ekonomi digital bagi membantu usahawan yang berminat mengetahui mengenai dunia digital secara mendalam.

"Sebagai permulaan, Kelab NFT Malaysia dan MAHSA University akan mengadakan bengkel latihan bagi memberi penerangan mengenai NFT dengan terperinci di bawah rangkaian MAHSA Group," katanya.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MAHSA, Datuk Dr Shahril Mohamed Haniffa; Naib Canselor MAHSA University, Profesor Datuk Dr Ikram Shah Ismail dan ahli kehormat Kelab NFT Malaysia, Zed Zaidi, Zizan Nin dan Edrie.


Sumber | BH Online







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo