NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dana YAB RM65 juta bukan hasil aktiviti haram - Ahmad Zahid

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, untuk prosiding bela diri bagi 47 pertuduhan berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi beliau. - Gambar BERNAMA

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa dana Yayasan Akalbudi (YAB) berjumlah RM65 juta yang didakwa diterimanya dan dipindahkan ke akaun simpanan tetap sebuah firma guaman bukan hasil wang haram.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu, 69, sebaliknya, berkata, dana RM65 juta melalui cek itu adalah hasil sumbangan daripada individu dan badan korporat bagi tujuan amal jariah.
"Saya menegaskan bahawa dana tersebut adalah bukan hasil daripada aktiviti haram yang didefinisikan di bawah Akta AMLA," katanya semasa membacakan pernyataan saksi semasa membela diri atas 47 pertuduhan iaitu 12 pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik YAB.
Katanya, Sothilechmy telah mengesahkan di mahkamah bahawa beliau (Sothilechmy) mendapat arahan daripada peguam B.Muralidharan untuk memasukkan dana-dana tersebut ke dalam akaun simpanan tetap.
Mengenai dana YAB berjumlah RM5.9 juta, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, beliau tidak pernah memberi arahan kepada Muralidharan untuk membuat pembayaran bagi pembelian dua lot tanah banglo di Country Height, Kajang, menggunakan akaun simpanan tetap.
Beliau berkata, dana Yayasan Akalbudi dikendalikan oleh Muralidharan menggunakan budi bicara tunggal peguam itu sepenuhnya.
"Muralidharan sebagai seorang yang mempunyai kawalan kendalian ke atas dana Yayasan Akalbudi mempunyai pengetahuan tentang transaksi keluar masuk wang dalam akaun pelanggan dan Muralidharan mempunyai budi bicara tunggal untuk menentukan berapa banyak jumlah dana yang perlu dimasukkan ke dalam akaun simpanan tetap," katanya.
Ahmad Zahid juga berkata, pengeluaran RM5.9 juta daripada akaun simpanan tetap oleh Muralidharan bagi tujuan pembayaran dua lot tanah untuk dijadikan pusat pengajian al-Quran bagi golongan yang akan bersara dan juga pelajar tahfiz dan ia bukan wang daripada hasil aktiviti haram.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, beliau tidak pernah mengarahkan pengurup wang, Omar Ali Abdullah untuk menukarkan wang tunai berjumlah RM7,511,250.20 kepada 35 keping cek.
"Seingat saya, apabila Omar Ali dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah, beliau sendiri menyatakan bahawa beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk menukarkan wang tunai sumbangan tersebut kepada cek."
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan berkenaan penukaran wang tunai kepada cek itu.
"Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa sumber wang tunai yang diuruskan oleh Omar Ali merupakan sumbangan dan derma daripada Yayasan Al-Bukhary dan bukan wang hasil daripada aktiviti haram," katanya.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo