NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Budi bahasa, disiplin dan pengurusan jadikan Malaysia pilihan Arab Saudi

Syed Saleh (tiga, kanan) ketika menyambut ketibaan 291 jemaah dari Madinah di hotel Land Premium, di Mekah, 12 Jun 2022. --fotoBERNAMA

MEKAH: Budi bahasa, disiplin tinggi jemaah haji serta pengurusan teratur menjadi antara faktor di sebalik pemilihan Malaysia dalam program Makkah Route atau prapelepasan.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Abdul Rahman berkata lebih istimewa, Malaysia pernah mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya negara yang menjadi pilihan kerajaan Arab Saudi ketika kali pertama program tersebut dilaksanakan.
Katanya, tahun ini pula hanya lima negara terpilih dalam program istimewa itu iaitu Malaysia, Morocco, Pakistan, Indonesia dan Bangladesh.
"Kalau kita lihat sejarah Makkah Route ini, ia diperkenalkan secara projek rintis pada 2017 dan Malaysia merupakan satu-satunya negara yang terpilih.
"Kejayaan pada projek rintis membolehkan Malaysia meneruskannya pada tahun selepasnya dan sehingga hari ini. Arab Saudi kini memilih lima negara sahaja daripada beratus negara lain yang menghantar jemaah haji mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di bangunan yang menempatkan ibu pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) dan penginapan jemaah, Abraj Al Janadriyah, di sini.
Syed Saleh berkata kerajaan Arab Saudi juga kelihatan selesa dalam berurusan dengan TH kerana badan itu mampu bertindak secara langsung dalam urusan haji, malah sistem pengurusan sedia ada juga memudahkan perlaksanaan Makkah Route.
Tambahnya, kebolehan jemaah tanah air memahami arahan asas meskipun dalam bahasa Arab dan Inggeris juga menjadi faktor penyumbang kepada pemilihan Malaysia berbanding negara lain.
"Pihak Kementerian Haji dan kerajaan Arab Saudi mempunyai hubungan cukup rapat dengan TH dan Malaysia...ini juga memudahkan mereka untuk berurusan dan kita akan bersama-sama memperhalusi serta memperbaiki lagi sistem ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya kepada beberapa negara lain," katanya.
Inisiatif program tersebut dilihat berjaya melancarkan pergerakan jemaah, termasuk yang melibatkan imigresen dan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lapangan terbang di Madinah serta Jeddah.
Sejurus sampai, jemaah Malaysia akan terus menaiki bas, sama ada di Madinah atau Mekah, malah beg mereka akan diuruskan pihak agensi di Arab Saudi untuk dibawa ke hotel masing-masing.
Dalam perkembangan lain, hotel ketiga, Qasr Aljanadriyah yang menempatkan jemaah haji Malaysia telah mula dibuka malam tadi dengan menyambut ketibaan seramai 287 jemaah dari Madinah.
Dua lagi penginapan jemaah Malaysia ialah di Abraj Al Janadriyah dan Land Premium dengan kesemua bangunan tersebut mempunyai pelbagai kemudahan termasuk pejabat pengurusan TH, Bank Islam, perkhidmatan klinik, farmasi dan kafe.
Setakat malam tadi seramai 2,227 jemaah telah berada di Mekah manakala 2,730 masih di Madinah.
Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan haji pada tahun ini dengan 48 penerbangan, iaitu yang terakhir pada 2 Julai.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo