NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bertemu YAB Dato' Seri Haji Muhammad Sanusi

Oleh Prof Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob

Kira-kira seminggu selepas Hari Raya tahun ini , saya bersama empat orang kawan (dua Melayu dan dua India) datang berhari raya di pejabat YAB Dato Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah Darul Aman.

Banyaklah perkara yang telah kami dengar mengenainya. Ada orang kata beliau garang orangnya.

Saya tahu beliau berasal daripada keluarga sederhana, yang banyak menempuh dugaan hidup.

Kami menunggu di bilik tunggu, tak tahu apa yang hendak dijangka. Hampir tepat pada masa, beliau masuk mengucap salam kepada kami sambil tersenyum lebar. Hati kami menjadi lega. Orang garang bukan sebegini, selalunya payah menguntum senyum.

Kami membawa satu cendera hati tanda terima kasih kami atas kesudian beliau bertemu kami yang belum beliau kenal.

Pada mulanya, semua kawan saya berasa cendera hati itu tidak sesuai untuk diberikan kepada seorang Menter Besar. Tetapi saya bekeras untuk mengekalkannya, kerana saya ingin melihat reaksi Menteri Besar nanti.

Menteri besar bertanya tujuan kami sebenar mahu berjumpanya, walaupun beliau sudah pun tahu kerana kami telah pada awal lagi menulis kepadanya menyatakan hasrat.

Saya menyatakan keinginan kami untuk belajar ilmu dan resipi kejayaan dalam kehidupan bagi orang-orang seperti kami yang tidak datang daripada keluarga berada. Beliau tersenyum, dan kami ikut tersenyum.

Kami baca kemesraan pada wajahnya, dan kesedian untuk bercerita.

Sejurus kemudian, kami sampaikan cendera hati kepadanya. Dibukanya, terkejut besar dan tergamam, lalu senyap untuk beberapa ketika. Kami memerhati wajahnya. Ada air pada matanya. Kami ikut diam.

Yang dilihat Menteri Besar Dato Seri Muhammad Sanusi ialah dua bilah pisau menoreh getah!
Barangkali beliau terkenang pada zaman sekolah dan remajanya, di mana beliau menoreh getah bersama ibu bapanya untuk mencari rezeki.

Cendera hati yang kami hadiahkan kepada beliau dengan segala rendah hati itu, rupanya telah menusuk hatinya.

YAB Dato Seri Haji Muhammad Sanusi, Menteri Besar Kedah Darul Aman, berasal daripada keluarga yang akarnya tidak dalam dan menunjang, kini telah bangkit memimpin rakyat. Beliau faham kehendak rakyat, kerana pengalaman mengajar beliau.

YAB Dato Seri menceritakan bagaimana beliau mengutip susu getah yang telah beku dalam tepurung penadah. Busuknya bukan main lagi katanya, hingga baunya kekal melekat pada jari-jemarinya hingga tiga hari kemudian.

“Ada kalanya sewaktu saya menarik segerap daripada pokok getah, tiba-tiba…………” ujar YAB Dato Seri.
“Tiba- tiba segerap terputus dan menghetam muka dan mata kita”, saya memotong pantas, untuk membuktikan bahawa saya juga pernah bekerja begitu. Dato Seri ketawa dan kami ikut sama.

Suasana dalam pertemuan itu telah menjadi sangat ceria dan selesa, diperantarakan oleh pengalaman kehidupan lampau yang jauh daripada senang.

Kami terlupa sejenak bahawa orang di hadapan kami itu adalah seorang Menteri Besar.

Maka saya memberanikan diri bertanya tentang satu isu pemerobohan kuil tak lama dulu.

“Apa pun bangunan, sekiranya belum atau tidak mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Kerajaan, maka ianya tidak boleh didirikan. Itu peraturan. Tidak kiralah samada ianya adalah sekolah, rumah atau tempat beribadah. Saya hanya menjalankan amanah yang diberikan rakyat“ terang Dato Seri Menteri Besar.

Benar, peraturan yang dibuat oleh Kerajaan pilihan rakyat tidak patut dicerobohi samasekali. Kalau tidak huru haralah negeri. Perkara ini jangan diputar belitkan.

Sebagai rakyat yang taat kepada peraturan dan undang-undang, bersetuju dengan tindakan itu.

Ketika berpisah, kami terpaut dengan sifat “kemesraan rakyat” yang ditunjukkan oleh YAB Dato Seri Muhammad Sanusi.

Kami doakan beliau bejaya memimpin rakyatnya. Untuknya kami dedikasikan sebuah puisi penghargaan:

Orang tuamu penoreh getah..
Kau pun juga begitu
pada awal hidup
yang gelisah.
Tapi cerah mata bapamu
bagaikan bulan purnama.
Terang hati ibumu
bagaikan suria pagi.
Ingat kau pada pesan
orang tuamu?

“Anakku,
setajam-tajam
mata pisau torehku,
tajam lagi si mata pena!“

Kau pun menyeru tekad
gahnya sekawan gajah.
Dan kau pulang,
Hulubalang!

Prof Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya, dan empat buah universiti swasta; Felo Royal College of Surgeons of England ; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2001; Pelukis; Kepten Pasukan Sukarelawan Tentera Laut DiRaja Malaysia(B).

Sumber: Bebasnews

https://www.facebook.com/mediaupda/posts/pfbid02a6YJ5mnfVV1RNPUp4mF2GwfgJWzc6Yb7Di7avAL8PYCnxTMcrScVv9nUBhsQ22MDl

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo