NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

[BELASUNGKAWA] Selamat jalan Pak Hamid, terima kasih atas kebaikan yang ditaburkan...

Pak Hamid pergi membawa seluruh kebaikan yang pernah beliau taburkan kepada kita untuk kembali bertemu Yang Maha Esa pada usia 90 tahun.

KETIKA duka pemergian cendekiawan dan negarawan ulung, Tan Sri Dr Arshad Ayub ke rahmahtullah belum reda diratapi, Malaysia dikejutkan pula dengan berita sedih kepulangan artis legenda, Hamid Gurkha ke negeri abadi.
Kesedihan seluruh negara berikutan pemergian Allahyarham ayahanda Arshad Ayub dan Pak Hamid Gurkha sukar diterjemahkan dengan kata-kata kerana kedua-dua tokoh itu telah memainkan peranan yang bukan kecil dalam pembangunan masyarakat Malaysia sepanjang hayat mereka.
Kedua-dua bunga bangsa itu telah memberikan bukan sedikit kebahagiaan dan kegembiraan buat kita seluruh masyarakat.
Di gelanggang seni tanah air, takdir telah menentukan seniman Hamid Gurkha dihadirkan kepada untuk mengisi kekosongan dalam diri sebahagian besar daripada kita.
Mereka yang pernah membesar dengan lakonan Pak Hamid tentu sekali ketika ini sedang tersenyum sendiri mengenangkan betapa seniman itu sudah meninggalkan 1,001 kebaikan.
Masakan tidak, Pak Hamid dengan lakonan, guruan dan celotehnya yang spontan telah mewarnakan gelanggang perfileman negara selama berdekad-dekad.
Tidak hanya di layar perak, bahkan sepanjang hayatnya, setiap masa Pak Hamid tidak lekang menghiburkan ramai orang dan menggembirakan hati semua orang di sekelilingnya barangkali terapi buat beliau.
Bukan sekadar bergurau, namun, candanya terselit pelbagai maksud yang mendalam.
Tanpa pernah memikirkan imbuhan atau pulangan dalam bentuk kemasyhuran waima kekayaan melimpah ruah, sebaliknya, apa yang paling utama dilakukan seniman berjiwa besar itu dalam kerja-kerja seninya ialah memastikan penonton terhibur dan dapat lari daripada masalah yang sedang dihadapi.
Barangkali, itulah prinsip seni orang-orang lama seperti Pak Hamid yang dapat kita tafsirkan dari pandangan mata kasar.
SENYUMAN PAK HAMID
Meninggalkan kerjaya sebagai anggota tentera dan terjun ke dunia seni adalah sebesar-besar pengorbanan dilakukan Pak Hamid.
Hari ini, Pak Hamid pergi membawa seluruh kebaikan yang pernah beliau taburkan kepada kita untuk kembali bertemu Yang Maha Esa pada usia 90 tahun.
Musafir Pak Hamid ke alam barzakh sudah tentu akan ditemani sedekah-sedekahnya yang tidak putus dipanjangkan ketika hayatnya.
Dan tentu sekali, jariah itu akan menjadi antara bekalan di senarai teratas Pak Hamid untuk bertemu dengan para malaikat kelak.
Sedekah terbesar Pak Hamid adalah senyuman yang tidak pernah lekang di bibirnya.
Senyuman manis Pak Hamid juga antara yang akan kekal di kotak fikiran mereka yang pernah membesar dengan kerja-kerja seninya atau individu yang pernah mengenali Allahyarham secara peribadi.
Seperti dikongsi artis versatil, Datuk Afdlin Shauki, sepanjang hayat Pak Hamid, sudah terlalu banyak pahala yang dikumpul Allahyarham melalui senyumannya.
“Senyuman beliau sentiasa boleh membuat sesiapa saja tersenyum,” kata Afdlin berkongsi keistimewaan yang ada dalam pelakon legenda itu.
Dalam perkongsian itu juga, Afdlin tidak lekang-lekang memuji keperibadian Allahyarham Pak Hamid yang disifatkannya sebagai seorang peramah.
“Bahkan Allahyarham sentiasa merendah diri walaupun menjadi ikon dunia komedi yang sangat hebat,” sambung Afdlin.
Sebagai generasi yang meneruskan kegemilangan seni tinggalan Pak Hamid dan rakan-rakannya, Afdlin mengagumi bakat besar Allahyarham yang mampu bertahan berdekad lamanya.
Tambah mengagumkan Afdlin, Pak Hamid menjadi ikon ketika media sosial belum lagi menjelma.
“Allahyarham menjadi ikon ketika tiada media sosial, lawak jenakanya dikembangkan secara organik dan dari mulut ke mulut.
“Allahyarham menjadi idola bagi dua ke tiga generasi pelawak dan akan sentiasa disanjungi dan disayangi,” kata Afdlin merakamkan penghargaan buat seniman yang akan sentiasa menjadi idolanya khususnya ketika beliau memulakan kerjaya dalam dunia seni tanah air.
"PAK HAMID PELAKON SEJATI"
Bagi seniwati Fauziah Ahmad Daud pula, kesempatan bekerjasama dengan Pak Hamid mendedahkan beliau pada kehebatan Allahyarham bukan semata-mata atas kedudukannya sebagai pelakon komedi.
Jauh lebih mengagumkan, kata Fauziah atau mesra disapa Ogy ialah, Pak Hamid merupakan seorang pelakon yang memiliki kemahiran seni yang tiada tolok bandingnya.
“Saya memperoleh keistimewaan bekerjasama dengan Allahyarham dalam sebuah drama bersiri 13 episod. Bila bekerjasama dengan Allahyarham, saya nampak aktor dalam diri beliau, bukan lagi pelakon komedi.
“Beliau sangat serius, komited dan sentiasa berusaha memenuhi apa sahaja tuntutan watak sekalipun berhadapan cabaran. Saya amat kagum dengan Pak Hamid. Beliau meletakkan kepentingan watak atau jalan cerita berbanding keselesaaan diri sendiri.
“Pengalaman itu membuka mata saya mengenai kebenaran bahawa seniman dan seniwati veteran merupakan pelakon sejati yang memiliki nilai yang amatlah tinggi. Saya bersyukur kerana Allah menemukan saya dengan Pak Hamid,” cerita Ogy mengenai pengalaman bekerja dengan Allahyarham Pak Hamid dalam drama bersiri Maya.
Pengalaman Ogy dan perkongsian Afdlin mengenai Allahyarham Pak Hamid tentu sekali akan mencetus keinsafan dalam diri kita mengenai betapa di sebalik kehebatan dan kemasyhuran seseorang itu, masih ada ruang sebenarnya untuk kita merendah diri.
Semulia-mulia seseorang itu ialah tidak mendabik dada dengan kelebihan yang Allah kurniakan.
Pak Hamid adalah contoh insan terbilang, kalau sudah tidak didendang sekalipun, kerja-kerja seninya sudah cukup menjadi justifikasi pada personalitinya.
Sepanjang hayatnya sebagai anak seni, Pak Hamid meninggalkan kita lakonan malar segar dalam filem Panglima Badol (diterbitkan pada 1978).
Demikian juga dengan filem Sikit Punya Gila dan Jejaka Perasan antara yang akan terus dikenang sepanjang zaman.
Jangan dilupa filem Aku Yang Berhormat yang diterbitkan pada 1983 juga antara karya terbaik yang pernah dilakonkan Pak Hamid.
Pak Hamid atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Abdul Rahman meninggalkan seorang balu, Timah Abdul Hamid, 80, yang dinikahinya pada April 1957.
Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya meninggal dunia. Beliau juga dikurniakan 32 cucu dan 18 cicit.
Lelah Pak Hamid di dunia sudah berakhir.
Selamat jalan Pak Hamid, terima kasih atas kebaikan yang ditaburkan.
Al-Fatihah...

Sumber | Astro Awani





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo