NOTIS:

Belum ada lagi....

UMNO tiada sahabat tiada pendirian - Zahid

0


BAGAN DATUK: "Itu pandangan PAS... daripada awal itulah pendirian kita tetapi mereka sudah memperlihatkan sikap talam dua muka," kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata demikian ketika diminta mengulas PAS masih lagi menganggap konsep penyatuan ummah yang digagaskan oleh parti itu dan UMNO di bawah payung Muafakat Nasional (MN) adalah formula terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahmad Zahid berkata, UMNO tidak mahu sahabat yang tidak mempunyai pendirian tetap dalam setiap tindakan dan keputusan yang dilakukan.

"Kita tidak mengambil kira bahawa soal kononnya politik matang sebagai organisasi apatah lagi pertubuhan politik yang siang cakap lain dan malam berubah bercakap lain pula apatah lagi esoknya. 

"Kita mahu rakan yang setia dan kesetiaan itu bukan hanya kata-kata tetapi dari segi tindakan dan juga keputusan yang dilakukan. 

"Kita juga tidak mahu sindir menyindir dilakukan, maka kita sudah kenal mana yang mutu dan mana yang manikam... sekilas ikan di air kita sudah kenal jantan betinanya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kompleks Umno Bagan Datuk, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Semalam media melaporkan, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan pemahaman PAS berdasarkan Piagam MN dan penyatuan ummah bukan hanya terhad kepada parti tertentu saja, sebaliknya dalam piagam itu jelas menyatakan MN boleh disertai mana-mana parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau individu yang mempunyai matlamat sama iaitu ke arah penyatuan ummah.

Beliau dilaporkan berkata, disebabkan itu PAS masih lagi menyeru supaya penyatuan ummah membabitkan semua pihak terutama parti Melayu Islam, parti Bumiputera dan parti bukan Melayu yang tidak ekstrim sebagaimana yang disebut oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, strategi menghadapi PRU-15 secara solo adalah yang sebaiknya selepas cubaan dan peluang yang diberikan tidak dimanfaatkan dengan baik. 

"Saya fikir itulah (bergerak secara solo) yang sebaiknya sebab kita sudah mencuba beberapa kali untuk memberikan ruangan yang secukupnya bagi mereka untuk terus mempersetujukan apa juga perkara yang terkandung dalam piagam penyatuan ummah. 

"Tetapi sikap mereka tidak begitu maka eloklah kalau kita lupakan saja hasrat yang dinyatakan oleh mereka itu," katanya. 

Mengenai status kerjasama UMNO dan PAS setakat ini, jika terdapat dua dasar kerjasama yang berlainan iaitu di negeri dan persekutuan, Ahmad Zahid berkata, perkara perlu menghormati keputusan yang sudah dibuat oleh parti masing-masing. 

"Saya fikir elok kita hormat keputusan yang sudah dibuat oleh Majlis Tertinggi dan kita juga menghormati keputusan yang Majlis Syura Pas dan Jawatankuasa PAS Pusat, eloklah kita saling menghormati keputusan parti masing-masing," katanya. 

Sementara itu, mengenai UMNO Terengganu tidak akan bekerjasama dengan PAS pada PRU-15 dan akan meletakkan calon bertanding di 32 kerusi DUN serta lapan kerusi Parlimen, Ahmad Zahid berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh Badan Perhubungan UMNO negeri itu.

Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo