NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umno punca masalah bekalan air di Kelantan dedah Mohd Amar


KUALA LUMPUR
: Masalah air di Negeri Kelantan perlu diketahui secara adil melalui sejarah mula ia berlaku serta pihak yang menjadi dalang dan bersikap khianat di sebaliknya.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, Umno perlu sedar bahawa pihak parti itulah yang telah menyebabkan masalah bekalan air negeri Kelantan.

“Ini sejarah semua berlaku masa Umnolah. Jadi sebab itu bila Umno nak cakap hal air ini dia kena ingat sejarah. Jangan nak salahkan kita saja. Bukan kita nak cari excuse, kita dah usaha, dalam masa 30 tahun ni macam-macam cara dah. 

“Bila kita (PAS) menang pada tahun itu (1990) Umno telah membatalkan projek bekalan air Kelantan Utara yang telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat dengan kos RM600 juta,” tempelaknya.

Beliau menjawab demikian kepada media semasa Rumah Terbuka Aidil Fitri PAS Kawasan Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama Jalan Tok Guru Pengkalan Chepa, semalam.

Menurutnya, kerana Umno kalah dalam pilihan raya, Kelantan telah dinafikan hak tanpa ada sebarang peruntukan dan bantuan kewangan dan projek telah diluluskan juga dibatalkan serta-merta.

“Jadi itu menyebabkan kita Kelantan ni ketinggalan dalam isu air. Sebab tu saya selalu buat contoh macam orang kena strok 10 tahun, hari ni baru boleh bangun. Tiba-tiba kita nak suruh berlari, tentulah tidak adil. Dia memerlukan masa untuk pulih,” jelasnya.

Kedaifan infrastruktur air dan ketinggalan jauh berbanding keperluan semasa menyebabkan Kelantan kata Dato’ Amar memerlukan sekitar RM7 bilion bagi keperluan ketika ini.

Jelas beliau, ia bagi mengadakan pemulihan dengan menukar paip lama dan menambah baru serta menaik taraf loji rawatan air sehingga masalah diselesaikan dan keperluan dipenuhi.

Kelantan ujar beliau, semasa dipimpin Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat memerlukan RM2 bilion untuk menyelesaikan masalah air di seluruh negeri itu, namun tidak diberikan.

Sedangkan Pulau Pinang beritahunya, mendapat RM2 bilion ketika itu sehingga siap Empangan Mengkuang dan tiada lagi ada masalah air dihadapi oleh negeri itu.

Bahkan Kelantan juga maklumnya, bersetuju migrasi kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), tetapi peruntukan yang sepatutnya disalurkan turut tidak dilakukan.

“Saya bukan nak cari excuse tapi ini fakta-fakta rekod kita ada semua. Sebab itulah kerajaan membentangkan Akta WASIA di Parlimen dengan SPAN dengan PAAB ni kerana tidak ada satu negeri pun di Malaysia yang boleh selesai masalah air secara bersendirian. 

“Semua memerlukan peruntukan daripada Pusat. Johor dapat RM2 bilion. Kita Kelantan dapat RM600 juta, itupun hutang. Negeri lain soft loan,” kesali beliau.

Perubahan katanya, hanya berlaku selepas bertukar Kerajaan Persekutuan di mana adanya peruntukan, namun belum memenuhi keperluan yang dihasratkan.

“(Jadi) Masalah air ni Umnolah punca asalnya. Dulu kita memerlukan RM2 bilion untuk memulihkan masalah air di Kelantan. Tapi tak dapat duit. Dia bagi syarat masa itu migrasi. Jadi bila kita bincang lama-lama akhirnya masa Tok Guru (Nik Aziz) itu kita setuju migrasi.

“Tapi duit tak sampai. Ha itu isu. Saya terpaksa sebut satu persatu supaya orang tahu hakikat ini. Sebab fakta-fakta ini orang awam tak tahu. Dan masa itu dia bagi RM600 juta masa Tun Daim (Zainuddin) jadi Menteri Kewangan. 

“Tok Guru jumpa secara individu. Dia bagi RM600 juta tapi syarat kontraktor dia pilih. Dan duit itu dia tak bagi kat kita, sebab ada orang persoal pergi mana duit RM600 juta. RM600 juta ni kerajaan pusat tak pernah masuk ke dalam akaun kerajaan negeri. 

“Dia pegang di KL kontraktor dia lantik. Dan kontraktor-kontraktor ni banyak masalah, buat loji tak ikut spec, projek tergendala, termasuklah projek di Kampung Putih itu. Lama mana tergendala? Terpaksa buat kontraktor baru. 

“Duit ni dia bagi bila kontraktor itu claim. Kontraktor claim di atas claim kepada kita (Kerajaan Negeri Kelantan). Kita angkat claim itu kepada Kerajaan Pusat. Barulah duit tu sampai terus bayar pada kontraktor. Ha lalu saja. 

“Kita jadi macam posmen. Jadi kalau orang soal di mana duit RM600 ratus juta, tanya Tun Daimlah. Kenapa tanya kitanya? Sebab duit tak ada dalam akaun kita. Ini banyak orang tak tahu terutama generasi muda ini. Sebab itu saya bila timbul isu air, saya agak emosi. Sebab saya tahu daripada awal. 

“Generasi muda, dia tak tahu. Yang umur 20 tahun, 18 tahun, dia budak lagi masa itu. Ha, jadi sini kena kena faham hakikat. Bukan kita nak cari excuse. Tapi saya kena sebut fakta sejarah supaya kita ingat.

“Sebab itu kan saya nak pesan kat Umno tak usah mainlah isu air sebab dialah culprit yang sebenarnya dalam isu air ini,” peringat beliau yang juga Naib Presiden PAS.

Beliau turut mendedahkan, ketika Tuan Guru Nik Aziz bertemu Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Mahathir Mohamad ketika itu, Presiden Umno itu sendiri menyebut bahawa masalah itu kerana Umno Kelantan.

“Dia (Umno Kelantan) yang menyekat. Culprit, dia yang menyekat peruntukan-peruntukan ini, zaman Dr Mahathir. Projek-projek lain macam itu juga. Jadi masa itu Dr Mahathir jumpa dengan Tok Guru ini cerita dalamanlah. 

“Tok Guru sebut, Mahathir kata saya tak ada masalah dengan Kelantan. “Saya boleh bagi peruntukan tapi budak-budak saya di Kelantan itu jadi masalah”. Mahathir sebut macam itu, “budak-budak saya di Kelantan itu yang tak bagi”

“Sebab alasan dia orang masa itu, kalau Kelantan dapat peruntukan yang adil macam negeri lain, sampai bila pun Umno tak boleh menang di Kelantan. Tapi bila dia buat jahat, semakin dia tak menang,” bidasnya lagi.

Tambah beliau, sekiranya Kelantan diberi RM2 bilion dahulu, banyak masalah bekalan air Kelantan dapat diselesaikan walaupun tidak semua kerana ketika itu jajarannya sejauh 5,000 kilometer.

“Jadi nak salin ni, nak tukar paip ni, satu hari, dua hari tak boleh siap. Kalau tukar kerajaan hari ni pun, kerajaan ni memerlukan empat lima tahun juga untuk selesai masalah ini sama je. Sebab sekarang ni duk isu nak tukar kerajaan. Boleh nak tukar kerajaan, sebab itu hak rakyat.

“Tapi apa yang kita akan dapat? Macam orang cerai binilah. Menikah-menikah tak pandai masak juga. Jadi duk berulang masalah yang sama,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/5/2022







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo