NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tidak perlu desak bubar Parlimen - Abdul Hadi

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

MARANG: PAS berpendapat tiada keperluan untuk mendesak kerajaan membubarkan Parlimen bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu diberi peluang untuk terus mentadbir negara hingga berakhirnya penggal semasa.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan rakyat bertenang selepas sekian lama bergelut dengan penularan COVID-19.

"Kita tidak akan berganjak dengan keputusan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri bawah pemerintahan PAS hanya akan dibubarkan hingga berakhirnya penggal.

"Ini kerana rakyat masih keletihan selepas bersama-sama membantu kerajaan menangani penularan COVID-19," katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Mac lalu, PAS dilapor memutuskan untuk tidak membubarkan DUN tiga negeri dikuasainya, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, hingga habis penggal pada tahun depan.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dipetik berkata, keputusan itu adalah pendirian muktamad bagi membolehkan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi menegaskan, tiada keperluan mendesak untuk PRU15 diadakan secara tergesa-gesa seperti digesa segelintir pihak.

"PAS berpendapat lebih baik kerajaan diberi peluang melaksanakan tugas dalam tempoh secukupnya," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, PAS tetap bersiap siaga menghadapi PRU15, termasuk menggerakkan jentera dan menambah cawangan serta ahli di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata, PAS kekal dengan agenda perpaduan ummah melalui kerjasama dengan dua parti Melayu terbesar, iaitu BERSATU dan UMNO, selain Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

"Kita akan melihat perkembangan kerjasama ini. Namun hingga kini, PAS terus membawa agenda perpaduan ummah, iaitu Islam dan umat manusia," katanya.

Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo