NOTIS:

Belum ada lagi....

Sungai Skudai dicemari timbunan sampah

Timbunan sampah-sarap terutama plastik sampah, botol plastik memenuhi Sungai Skudai yang menjadi punca utama bekalan air untuk penduduk bandar raya Johor Bahru. 

Johor Bahru: Sesudah tompokan buih putih hilang di Sungai Skudai, timbul pula isu timbunan sampah-sarap yang tidak berkesudahan di sungai berkenaan.

Tinjauan di Sungai Skudai mendapati tompokan buih putih yang sebelum ini menggemparkan penduduk Kampung Laut, sudah tidak lagi kelihatan sejak ia muncul pagi Sabtu lalu.

Namun air sungai berkenaan dilihat bukan sahaja keruh seperti teh tarik dan berbau busuk, malah tompokan besar minyak mengalir di permukaan sungai itu jelas kelihatan.

Lebih menyedihkan, apabila menyusuri Sungai Skudai yang merentasi di kawasan penempatan dan kilang pula, timbunan sampah-sarap terutama plastik sampah memenuhi sungai berkenaan yang menjadi punca utama bekalan air untuk penduduk bandar raya ini.

Kawasan perangkap sampah yang terletak di Batu 9 Setengah Sungai Skudai pula kelihatan menjijikkan apabila timbunan sampah-sarap termasuk botol minuman, bekas polisterina dan sampah-sarap memenuhi kawasan itu.

Penduduk Kampung Laut, Mohd Ridzal Mohd Hamdan, 42, berkata masalah pencemaran sampah dan bau yang menghantui Sungai Skudai tidak berkesudahan sejak 20 tahun lalu.

Katanya, Kampung Laut yang terletak tidak sampai 200 meter dari penempatan penduduk kampung itu dahulu terkenal dengan airnya yang jernih kebiruan.

"Namun sejak lebih 20 tahun lalu, air Sungai Skudai sudah bertukar keruh seolah-olah warna teh tarik sedangkan dahulu saya masih ingat airnya jernih kebiruan sebelum bertukar kehijauan dan kemudian menjadi keruh seperti ini.

"Isu tompokan buih putih Sabtu lalu juga bukan pertama kali berlaku kerana sebelum ini ia pernah berlaku dengan pihak berkuasa ada menyatakan ia dipercayai berpunca daripada aktiviti pembersihan loji atau kawasan perindustrian. Namun tompokan buih putih hanya berlaku pada pagi Sabtu lalu sebelum hilang dibawa arus menjelang tengah hari itu.

"Namun masalah sampah tidak pernah selesai di Sungai Skudai. Jika air pasang, timbunan sampah terutama beg plastik sampah boleh dilihat bergerak dibawa arus di permukaan Sungai Skudai. Malah, saya pernah melihat dan memarahi orang awam yang berhenti di Jambatan Taman Impian Emas dan membuang plastik sampah terus ke dalam sungai ini.

"Sebelum ini masalah timbunan sampah di Sungai Skudai berkurangan apabila ada pihak kontraktor dilantik mengendalikan perangkap sampah, namun apabila perangkap sampah itu rosak sejak dua tahun lalu, masalah sampah seperti tidak berkesudahan," katanya ketika ditemui.

Sejak Ahad lalu, beberapa rakaman video Sungai Skudai dengan tompokan buih putih ditularkan oleh seorang pengguna akaun Facebook dengan nama, An Niza.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dilaporkan sudah mengambil sampel air Sungai Skudai yang berbuih itu sejak Sabtu lalu, namun mendapati kualitinya berada pada tahap normal.

Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd Rashdan Topa, dilaporkan berkata, tahap alkali (ph) air sungai itu direkodkan pada bacaan tujuh apabila sampelnya diuji.

JAS Johor juga dilaporkan tidak menolak kemungkinan kejadian yang berlaku di sungai itu berpunca daripada industri di sekitar kawasan sekitar.

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor, K Raven, dilaporkan memberi jaminan pencemaran Sungai Skudai akibat kewujudan tompokan buih putih sejak Sabtu lalu tidak menjejaskan Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail, di sini, yang membekalkan air kepada hampir 200,000 pengguna di bandar raya ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, yang meninjau Sungai Skudai, semalam, berkata sikap masyarakat yang menjadikan sungai terutama Sungai Skudai sebagai kawasan pembuangan sampah amat dikesali.

Katanya, ia berikutan Sungai Skudai adalah punca air utama untuk bekalan air kepada penduduk di bandar raya ini dengan tindakan membuang sampah ke sungai berkenaan dibimbangi mampu menjejaskan operasi LRA Sultan Ismail sekali gus bekalan air tidak mencukupi.

"Saya akan membawa isu timbunan sampah-sarap di Sungai Skudai ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mendapatkan penjelasan perangkap sampah yang didakwa tidak berfungsi, selain memastikan penyelengaraan di Sungai Skudai dilakukan bagi mengelak banjir kilat," katanya.


Sumber | BH Online






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo